Kakitangan Zoo Taiping maut langgar lembu rayau

TAIPING – Seorang Pembantu Khidmat Am Jabatan Zoo Taiping maut selepas motosikal ditungganginya melanggar seekor lembu yang dipercayai melintas di Jalan Kuala Trong-Trong di sini pada awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Zulkiflie Mohd Ghazali, 36, yang menunggang motosikal jenis MDA Sporter S dipercayai gagal mengelak haiwan berkenaan yang melintas dari arah kiri ke kanan jalan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Saravanan Shanmmugam berkata, siasatan awal mendapati lokasi kejadian dipercayai tidak mempunyai lampu jalan sekali gus menyukarkan penglihatan pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Hospital Taiping.
“Lembu yang terlibat dalam kemalangan itu juga mati,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal turut mengucapkan takziah atas pemergian Zulkiflie.
Menurutnya, kejadian yang menimpa lelaki tersebut sangat mendukacitakan kerana isu haiwan ternakan merayau di sekitar kawasan Parlimen sering kali berlaku.
"Saya amat terkilan apabila nyawa Allahyarham terkorban akibat kemalangan melibatkan seekor lembu di Kuala Trong.
"Lebih menyedihkan, isu lembu berkeliaran di jalan raya bukan perkara baharu. Sudah berulang kali kejadian seumpama ini berlaku, namun masalah ini masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya," katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.
Syed Abu Hussin menggesa tindakan tegas dan menyeluruh diambil oleh agensi penguat kuasa berkaitan terhadap pemilik ternakan yang cuai dan membiarkan haiwan ternakan berkeliaran sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
Katanya, penguatkuasaan undang-undang mesti dilaksanakan dengan serius supaya tragedi seperti ini tidak terus berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

