UiTM kekal kedudukan THE Impact Rankings 2023 kali keempat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengekalkan prestasi menerusi Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila berada di kedudukan dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 untuk empat tahun berturut-turut.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor, UiTM mengekalkan kedudukan strategiknya pada tangga 101-200 daripada 1,591 kedudukan institusi di seluruh dunia dengan skor keseluruhan 85.9 berbanding 82.8 pada tahun lepas.

Menurutnya, peningkatan markah UiTM dalam THE Impact Rankings tahun ini adalah membanggakan.

"Sebagai sebuah universiti, kami menyokong SDG dengan empat cara iaitu melalui pengajaran, penyelidikan, stewardship dan outreach.

"Justeru, prestasi kami dalam THE Impact Rankings mencerminkan inisiatif kami ke arah menyokong SDGs dan usaha kami untuk menyokong komitmen Malaysia Madani ke arah kemampanan dan kemakmuran,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Roziah berkata, UiTM terus mengekalkan kedudukannya sebagai universiti kedua tertinggi di Malaysia bersama Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Malaysia yang juga menduduki tangga yang sama.

"Daripada 17 SDG, UiTM menghantar data untuk lapan SDG pada tahun ini dan menyaksikan peningkatan markah bagi kebanyakan kategori berbanding prestasinya tahun lalu.

"Tahun ini, UiTM berada dalam kedudukan 50 universiti terbaik di seluruh dunia untuk tiga SDG, iaitu SDG17 (Partnership for the Goals), SDG5 (Gender Equality), dan SDG16 (Peace, Justice and Strong Institutions)," katanya.

Tambahnya, UiTM juga berada dalam kedudukan 100 universiti terbaik di seluruh dunia untuk tiga SDG, iaitu SDG7 (Affordable and Clean Energy), SDG4 (Quality Education) and SDG 1 (No Poverty).

"Bagi tiga kategori teratas UiTM tahun ini, UiTM berjaya meningkatkan kedudukannya untuk SDG5 (Gender Equality) tahun ini apabila ia mencapai kedudukan ke-33 di seluruh dunia dengan lonjakan 18 tempat daripada kedudukan ke-51 tahun lalu.

"Buat pertama kali tahun ini, UiTM menyertai SDG16 (Peace, Justice and Strong Institutions) dan berjaya mencapai kedudukan ke-38 di seluruh dunia. Akhir sekali, untuk SDG17 (Partnership for the Goals), yang merupakan SDG wajib untuk semua institusi dalam THE Impact Rankings, UiTM menduduki tempat ke-25 di seluruh dunia dengan lonjakan 17 anak tangga daripada kedudukan ke-42 pada tahun lepas,"katanya.

Dua lagi SDG yang UiTM sertai tahun ini ialah SDG3 (Good Health and Wellbeing), dan, buat pertama kali tahun ini, SDG11 (Sustainable Cities and Communities).