Dr Asmah mahu pengundi beri peluang, Tuminah harap diberi mandat sekali lagi

Tuminah (kiri) dan Dr Asmah yang akan bertanding bagi kerusi DUN Pantai Kundor pada PRN Melaka.
Tuminah (kiri) dan Dr Asmah yang akan bertanding bagi kerusi DUN Pantai Kundor pada PRN Melaka.
A
A
A

TANGGA BATU - Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datin Seri Dr Asmah Samat berharap diberi peluang oleh pengundi untuk membawa perubahan dan memajukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dr Asmah berkata, beliau berharap penduduk Pantai Kundor yang layak mengundi dapat keluar menunaikan tanggungjawab pada Sabtu ini bagi menentukan masa depan kawasan berkenaan.

Menurutnya, peluang untuk memilih wakil rakyat hanya datang sekali dalam tempoh lima tahun dan pengundi tidak seharusnya melepaskan kesempatan itu.

"Insya-ALLAH, sekiranya diberikan mandat, kita akan berusaha bersama-sama memajukan Pantai Kundor untuk semua pihak tanpa ada yang terkecuali atau terpinggir.

"Saya berharap semua pengundi keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dan memberikan sokongan kepada saya," katanya.

Mengulas mengenai perancangan sekiranya dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr Asmah berkata, tiada isu yang boleh dianggap lebih utama kerana setiap keperluan rakyat perlu diberikan perhatian.

Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk penambahbaikan infrastruktur, keperluan petani dan nelayan serta kebajikan golongan wanita, remaja, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit terlantar.

"Contohnya, petani dan nelayan memerlukan lesen serta kemudahan lampu di jeti. Itu bukan perkara yang memerlukan masa terlalu lama untuk diselesaikan.

"Golongan lain seperti wanita, remaja, OKU dan mereka yang terlantar juga memerlukan bantuan yang tidak sepatutnya ditangguhkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu calon BN yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Tuminah Kadi berharap pengundi memberikan mandat sekali lagi kepadanya bagi meneruskan kesinambungan khidmat serta perancangan pembangunan yang telah dilaksanakan dan masih dalam perancangan.

Beliau berkata, gabungan BN dan Pas menerusi Muafakat Nasional merupakan kerjasama yang diharapkan akar umbi, sekali gus mampu memberikan momentum lebih baik kepada pembangunan negeri.

"Saya berharap pengundi dapat menterjemahkan sokongan dengan memberikan mandat pada 14 November ini supaya kesinambungan pembangunan yang sudah dilaksanakan, belum selesai dan masih dalam perancangan dapat diteruskan.

"Saya juga berharap dapat meneruskan perkhidmatan untuk penggal akan datang," katanya.

Mengulas kemungkinan terdapat pihak yang kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon BN, Tuminah berkata, beliau percaya rakan seperjuangan tetap mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan peribadi.

Katanya, setiap individu mempunyai impian untuk menjadi calon, namun keputusan parti perlu diterima dengan hati terbuka.

"Pada saya, apa juga yang berlaku kita perlu kembali kepada qada dan qadar ALLAH. Saya percaya rakan-rakan di luar sana sayangkan parti lebih daripada diri sendiri.

"Apapun, pasti ada ruang dan peluang terbaik untuk mereka," katanya.

DUN Pantai Kundor menyaksikan pertembungan dua wanita Dr Asmah dan Tuminah.

Pada PRN Melaka 2021, Tuminah memenangi kerusi DUN Pantai Kundor dengan majoriti 827 undi, menewaskan calon PN, Ts Mohamad Ridzwan Mustafa yang memperoleh 3,133 undi dan calon PH, Datuk Nor Azman Hassan (2,799 undi)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!