Nasib malang peniaga Kompleks Hentian Bas MBKT

Maziah menyusun pakain yang dijual di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Maziah menyusun pakain yang dijual di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
A
A
A

[MUKADIMAH] Sekitar tahun 2005, aktiviti perniagaan di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menjadi tumpuan.

Namun, pandemik Covid-19 telah mengubah landskap bisnes para peniaga di situ. Lebih menyedihkan, mereka bukan saja terpaksa menanggung hutang sewa dek kerana perniagaan yang suram, bahkan langsung tidak menerima kunjungan pelanggan.

Kepada wartawan NORHASPIDA YATIM, para peniaga melahirkan harapan agar sesuatu dapat dilakukan supaya perniagaan mereka dapat kembali dihidupkan.

KUALA TERENGGANU - Dalam tempoh antara 10 hingga 15 tahun lalu, aktiviti perniagaan di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sentiasa meriah dengan kehadiran pelanggan.

Namun, pada hari ini keadaannya cukup berbeza dan suram.

Kebanyakan peniaga di situ mengakui sukar untuk mendapatkan pelanggan, malah ada yang pernah tidak menerima walau seorang pun pelanggan sepanjang hari berniaga.

Azman menyusun rapi pakaian yang dijual di premisnya.
Azman menyusun rapi pakaian yang dijual di premisnya.

Seorang peniaga, Bidah Ngah, 65, berkata, kemerosotan pelanggan menyebabkan hasil pendapatannya merosot berkurangan lebih-lebih lagi sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, kami tidak beroperasi selama beberapa bulan. Bayaran sewa premis juga sering tertunggak walaupun hanya perlu bayar RM140 sebulan. Kadang-kadang, tiga hingga empat bulan bayaran sewa tertangguh.

“Nak kata tak dapat langsung pelanggan tak munasabah pula, tetapi kalau dalam sehari tu dapat tiga orang pelanggan sudah dikira begitu nasib baik, ” katanya yang telah berniaga selama 25 tahun di situ.

No Image Caption

Senada dengan Bidah, Aida Abdul, 38, yang telah 15 tahun berniaga menjelaskan, masalah kekurangan tempat letak kenderaan berdekatan hentian bas itu dipercayai antara punca pelanggan semakin berkurangan.

“Kemuncak aktiviti perniagaan di sini sekitar 2004 hingga 2005. Bila dah tak ramai pelanggan jualan merosot lebih 70 peratus,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Azman berkata, kekurangan daya tarikan di tempat itu menyebabkan pelanggan dari luar kurang berkunjung ke situ.

“Kami hanya bergantung kepada pelanggan tetap. Itu pun bukan selalu dapat. Susah nak tarik pelanggan dari luar kerana tiada papan tanda menunjukkan adanya aktiviti perniagaan di tingkat atas kompleks ini.

“Keadaan ini menyebabkan purata jualan merudum. Nak dapat RM1,000 sebulan pun susah. Bayangkan, kadang-kadang berniaga seminggu tapi tak dapat satu sen pun. Hanya buka dan tutup kedai. Dua tahun menjual masih tak lepas nak bayar sewa,” luahnya.

Seorang peniaga mula membuka gerai jualan pada jam 10 pagi ketika tinjauan Sinar Harian di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Seorang peniaga mula membuka gerai jualan pada jam 10 pagi ketika tinjauan Sinar Harian di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Dalam pada itu, Azman yang sudah 18 tahun berniaga mengakui peredaran zaman, persaingan yang banyak di samping aktiviti perniagaan secara dalam talian yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan turut mempengaruhi pengunjung ke lokasi berkenaan.

Seorang lagi peniaga, Maziah Awang, 65, memberitahu, kebanyakan peniaga di situ masih bertahan kerana tiada punca pendapatan lain.

“Kami dah lama bertapak di sini selain pelanggan yang kita sudah biasa pun ramai, agak sukar untuk cari perniagaan lain pada usia begini.

“Jadi, kami terus kekal di sini kerana kita tiada pilihan. Sebab itulah kalau boleh kita harap sangat kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat bantu menaik taraf, mempromosi dan memperkenalkan tempat ini kepada orang luar, ” luahnya.