UMK kongsi kepentingan teknologi AI

Universiti Malaysia Kelantan. Gambar kecil: Ahamad Tarmizi
Universiti Malaysia Kelantan. Gambar kecil: Ahamad Tarmizi
A
A
A

KOTA BHARU - Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF) dan Creative Accelerator Center (CAC), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menganjurkan satu program berkaitan teknologi AI pada 26 Mei bermula 9 pagi hingga 2 petang.

Program bertajuk Wacana Kandungan: Teknologi AI Dalam Kandungan Seni Visual di Malaysia 2024 itu turut membabitkan pameran berkaitan yang mengetengahkan beberapa pelukis antarabangsa.

Pengarah CAC, Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, antara slot utama ialah Bicara Tokoh Keusahawanan Kreatif Malaysia Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

"Beliau akan membincangkan penggunaan teknologi AI dalam industri percetakan dan penulisan berdasarkan pengalaman bersama kumpulan Karangkraf Sdn Bhd," katanya.

Ahamad Tarmizi memberitahu, program yang diadakan di UMK Bachok membuktikan komitmen fakulti itu dalam menyokong dan memajukan bidang seni visual di Malaysia melalui penggunaan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan.

Beliau berkata, selain bertujuan untuk seniman dan artis seni visual menerokai teknologi AI dalam seni visual, program itu turut memastikan syarikat Pemula Siswa (SPS) yang menjalani latihan industri di CAC dapat beroperasi sebagai syarikat sebenar dengan mengendalikan program bertaraf nasional.

"Ini memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari selok-belok menjadi usahawan berjaya dalam industri kreatif," katanya kepada Sinar Harian.

Wacana berkenaan turut mendapat sokongan Persatuan Pendidik Animasi Malaysia (PPAM), Persatuan Seniman Seni Digital Malaysia (Asedas Malaysia), Asian Southeast Digital Art Association (Asedas International) dan enam Syarikat Pemula Siswa (SPS).

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!