UMT diiktiraf kelompok 251-300 universiti terbaik dunia

Universiti Malaysia Terengganu - Foto fail Bernama
Universiti Malaysia Terengganu - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diiktiraf sebagai universiti yang berada dalam kelompok 251-300 terbaik dunia oleh Times Higher Education Young University Rankings 2024 berbanding kedudukan 401-500, tahun lepas.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Profesor Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim yang menjalan tugas Naib Canselor UMT, turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan UMT yang menyertai kelompok tujuh universiti terbaik di Malaysia atau keempat dalam kalangan universiti awam.

Menurutnya, peningkatan skor UMT untuk hampir semua indikator adalah bukti kejayaan perancangan dan inisiatif yang telah ditetapkan dalam Pelan Strategik UMT 2018 – 2022.

"Terutama ia melibatkan peningkatan yang ketara dalam skor indikator kualiti penyelidikan dengan menunjukkan bahawa UMT berada pada landasan yang kukuh bagi menghasilkan penyelidikan berkualiti di samping kriteria pengantarabangsaan.

"Selain itu, penilaian ini juga mengambil kira kriteria pengajaran dan pemerhatian pihak industri. UMT akan terus bergerak maju dengan perancangan dan inisiatif yang lebih segar dan terarah melalui Pelan Strategik UMT 2023 – 2027.

"Walaupun masih muda, UMT mampu bersaing dengan universiti-universiti ternama di negara ini terutama dalam bidang penyelidikan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut Mohd Zamri, pencapaian tersebut menjadikan UMT sebagai universiti ketujuh terbaik di Malaysia dengan peningkatan sebanyak empat tangga.

"Keputusan yang diumumkan semalam melibatkan lebih 673 universiti dari seluruh dunia yang tersenarai dalam 'Times Higher Education Young University Rankings 2024'.

Artikel Berkaitan:

"Syabas dan tahniah kepada warga UMT yang sentiasa komited serta gigih berusaha dalam memastikan UMT berada pada kedudukan yang terbaik," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!