Dewan Rakyat dimaklum kekosongan kerusi Kuala Terengganu

Johari Abdul
Johari Abdul
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Rakyat pada Jumaat memberitahu menerima surat makluman daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pemberitahuan itu selaras Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan susulan keputusan Hakim Pilihan Raya yang mengisytiharkan pembatalan kemenangan penyandang, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim pada November lalu.

"Saya telah menerima suatu surat bertarikh 13 Julai 2023 daripada SPR yang memaklumkan bahawa selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah berlaku kekosongan luar jangka bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P036 Kuala Terengganu mulai 13 Julai 2023.

"Ini berikutan penyandang jawatan, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim tidak mengemukakan rayuan yang berakhir pada 11 Julai lalu susulan daripada keputusan Hakim Pilihan Raya pada 27 Jun 2023 yang pilihan raya umum bagi kawasan Parlimen P036 Kuala Terengganu pada 19 November 2022 adalah terbatal," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, rayuan itu sepatutnya dikemukakan selaras dengan Seksyen 36A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kepada pihak Mahkamah Persekutuan.

Johari menegaskan, Mahkamah Tinggi juga pada 11 Julai 2023 telah mengeluarkan perakuan mengisytiharkan bahawa pilihan raya umum bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu adalah terbatal.

Sementara itu, Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, satu Mesyuarat Khas berkaitan urusan PRK Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan pada 18 Julai (Selasa) ini.

Menurutnya, ia berikutan SPR pada 12 Julai lalu telah menerima Laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah yang membatalkan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu pada 19 November 2022 lalu.

"Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK Parlimen P036 Kuala Terengganu seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

"Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut," ujarnya.