Pas mahu PRK di Kuala Terengganu, harap serentak dengan PRN

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas bersedia mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu susulan pihaknya tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat selepas parti itu mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini pada Sabtu.

Jelas beliau, parti itu memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menerima petisyen yang difailkan calon BN bagi membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Dari segi undang-undang kita mempunyai hak untuk fail rayuan terhadap keputusan mahkamah malah ada dua pilihan samada kita merayu atau kita tidak merayu.

"Sekiranya kita merayu, kita perlu menunggu masa lebih lama lagi. Jadi untuk tempoh enam bulan pada tarikh dimansuhkan baru boleh diselesaikan kerana rayuan perlu dibuat di Mahkamah Persekutuan.

"Sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab dan sebuah kerajaan yang memerintah negeri ini (Terengganu), kita tidak mahu rakyat terabai kerana dalam tempoh lima atau enam bulan ini tidak ada ahli Parlimen," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah serta Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Sanusi Mohd Noor.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas tidak menolak kemungkinan untuk mengekalkan calon sama bagi kerusi berkenaan.

"Kita telah mendapat pengesahan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah sekadar membatalkan keputusan Parlimen Kuala Terengganu pada 19 November, tetapi calon yang memenangi di peringkat Kuala Terengganu boleh bertanding semula.

"Jadi kita tak ada masalah, kemungkinan besar calon yang sama (akan dikekalkan) dan kita yakin (kemenangan) berdasarkan sokongan diterima calon berkenaan pada PRU lalu," ujar beliau.

Dalam pada itu, Pas berharap PRK bagi kerusi Parlimen tersebut diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Takiyuddin berkata, pihaknya yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kemahiran dan kecekapan dalam mengendalikan pelaksanaan PRN dan PRK serentak.

Beliau memberitahu, Pas juga yakin untuk mengekalkan kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu berdasarkan majoriti 40,907 undi yanh diperoleh Ahmad Amzad.

"Kita bukan takbur, tapi berdasarkan sokongan di peringkat rakyat jelata, memang kita optimis (boleh menang). Kita mengharapkan apabila kita buat keputusan tidak merayu, pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) boleh mengadakan PRK itu serentak dengan PRN.

"Kita ada tiga minggu lagi sebelum penamaan calon. Kita yakin SPR mempunyai kemahiran dan kecekapan untuk selesaikan (PRK dan PRN) serentak pada tarikh sama," katanya.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini membatalkan kemenangan Ahmad Amzad setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan responden membayar RM50,000 kepada pempetiseyen selain membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen.

UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 Parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tidak buat rayuan keputusan petisyen pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu

Kemenangan Ahmad Amzad di Parlimen Kuala Terengganu dibatal

UMNO Terengganu fail petisyen batal keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen