Bekas Exco Perak lapor SPRM isu tanah lapangan terbang

Howard Lee (dua dari kanan) bersama Mohammad Nizar (dua dari kiri) menunjukkan kenyataan media mengenai laporan SPRM yang dibuat di Pejabat SPRM Perak, Bandar Meru Raya di sini pada Selasa.
Howard Lee (dua dari kanan) bersama Mohammad Nizar (dua dari kiri) menunjukkan kenyataan media mengenai laporan SPRM yang dibuat di Pejabat SPRM Perak, Bandar Meru Raya di sini pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Empat bekas Exco Kerajaan Perak hadir ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri pada Selasa bagi membuat laporan rasmi mengenai isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar yang didakwa berlaku pada zaman Pakatan Harapan (PH).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berkata, tindakan itu dibuat bagi meminta satu siasatan lengkap dibuat terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam penjualan tanah lapangan terbang seluas 188.13 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu.

Menurutnya, ketika zaman PH, kesemua Exco kerajaan negeri daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP ketika itu tidak langsung mengetahui tentang penjualan tersebut.

"Kami ingin membersihkan nama PH sekiranya ada tuduhan di sana sama ada secara tersurat ataupun tersirat menyatakan bahawa PH yang menjual tanah itu, ia adalah salah dan fitnah.

"Kita percaya ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyalahgunakan kuasa yang ada untuk berunding secara senyap dengan pihak pembeli tanpa pengetahuan barisan Exco dan Ahli Lembaga Pengarah PKNP," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM di hadapan Pejabat SPRM Perak, Bandar Meru Raya, di sini pada Selasa.

Menurutnya, laporan tersebut diketuai ADUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi dan disertai bersama ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing dan ADUN Keranji, Chong Zhemin.

Dalam pada itu, Howard Lee turut menggesa UMNO Perak membuat laporan sama memandangkan dakwaan bahawa penjualan tanah tersebut berlaku pada zaman PH dibuat oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi UMNO negeri.

"Terserah kepada UMNO kalau mereka nak buat. Mereka yang melontarkan kenyataan dan melontarkan persoalan mengenai penjualan tanah tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa perkara ini sekiranya semua nak keadilan kepada negeri Perak dan juga rakyat, eloklah kalau UMNO rasa perkara ini yang perlu diselesaikan, mereka perlu buat (laporan)," katanya.

Sementara itu, Mohammad Nizar menegaskan, ketika menjadi Ahli Lembaga Pengarah PKNP sepanjang 22 bulan semasa PH, tiada mana-mana mesyuarat lembaga pengarah dibincangkan mengenai agenda penjualan tanah di Seri Iskandar itu.

Menurutnya, sebagai Exco kerajaan negeri ketika zaman PH, mereka perlu tampil membersihkan nama gabungan parti itu kerana tuduhan memberi gambaran bahawa PH yang menjual tanah tersebut.

"Jika siasatan ini diteruskan kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis dan juga SPRM. Saya merayu supaya pihak berkuasa tempatan di daerah Perak Tengah menarik balik apa saja kebenaran merancang untuk apa-apa projek pembangunan di atas tanah tersebut.

"Ini akan dapat memberikan siasatan yang lebih mendalam kerana saya difahamkan kebenaran merancang telah diberikan sudah tentulah ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi dan kita minta supaya ia ditarik balik kerana tempat itu adalah untuk dibuat lapangan terbang bukan untuk pembangunan bercampur," katanya.

Pada Isnin Pemuda PH Perak membuat laporan polis bagi menggesa siasatan segera dilakukan ke atas penjualan tanah yang dicadang dibangunkan sebagai lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Ketua Pemuda PH negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, siasatan secara menyeluruh perlu agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membuat laporan polis berhubung perkara itu dan memberi jaminan kerajaan negeri akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

Isu penjualan tanah lapangan terbang terbabit timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Bagaimanapun Saarani memaklumkan bahawa penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan terbabit.