'Biarlah pihak berkuasa siasat' - Saarani

Saarani (tengah) menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuat Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
Saarani (tengah) menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuat Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat mengenai penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar jika terdapat laporan yang dibuat berhubung perkara tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mana-mana pihak yang mahu supaya tindakan tersebut disiasat mesti membuat laporan atau aduan kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, kerajaan negeri tiada halangan untuk memberikan kerjasama berhubung isu tersebut.

"Kalau ada orang membuat laporan, siasatan akan dibuatlah. Siasatan dibuat mesti berasaskan aduan. Jadi terpulang kalau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi (Datuk Asmuni Awi) nak buat aduan dia buatlah.

"Biarlah pihak berkuasa menyiasatnya. Saya tak akan sapu sampah bawah karpet, takkan menghalang apa-apa. Tiada apa nak disorok. Buatlah siasatan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuat Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan anggota Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Saarani berkata, ketika menjadi Exco kerajaan negeri di bawah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, tanah tersebut diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Menurutnya, penjualan tanah tersebut hanya disedari ketika menjadi Pengerusi PKNP selepas dilantik menjadi Menteri Besar pada 10 Disember 2020.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semakan butiran mendapati penjualan tersebut dibuat selepas kerajaan negeri bertukar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada Jumaat, Asmuni yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) dalam sidang akhbar menjelaskan penjualan tanah lapangan terbang itu tidak pernah dibincangkan di dalam mesyuarat Exco ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).