Tuntutan Covid-19 bawah kategori penyakit khidmat: Perkeso

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memproses tuntutan faedah berkaitan kes Covid-19, di bawah kategori Penyakit Khidmat bermula 1 April.

Perkeso dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, selain Covid-19 antara penyakit berjangkit lain yang turut diletakkan di bawah kategori Penyakit Khidmat adalah seperti jangkitan virus Nipah, Tuberkulosis (batuk kering) dan Leptospirosis (penyakit kencing tikus).

"Sekiranya Orang Berinsurans (OB) Perkeso ingin membuat tuntutan faedah bagi kes Covid-19, tuntutan tersebut masih layak dipertimbangkan, namun terhad kepada pekerjaan yang terdedah kepada agen biologi, dan adanya jangkitan dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan.

"Permohonan tersebut akan diproses sebagai Penyakit Khidmat dan OB yang layak, akan menerima faedah-faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan atau Skim Keilatan merangkumi Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Pencen Penakat, Pencen Ilat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM), mengikut kelayakan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Perkeso turut menyatakan, bagi permohonan tuntutan faedah oleh OB yang disahkan positif Covid-19 sebelum 1 April, proses tuntutan tersebut akan diproses sebagai Bencana Kerja.

Sehingga 26 Mac lalu, Perkeso menerima sebanyak 132,988 kes tuntutan faedah Covid-19 yang merangkumi pekerja tempatan serta asing dan daripada jumlah tersebut, lebih RM133 juta telah dibayar kepada OB sejak pemberian faedah mula dilaksanakan pada 24 Februari 2021. - Bernama

Artikel Berkaitan: