Bas henti-henti mula beroperasi di Tambak Johor 1 Mei

Ka Siong menunjukkan aplikasi semasa meninjau operasi bas dan melawat CIQ BSI, di Johor Bahru, pada Jumaat.
Ka Siong menunjukkan aplikasi semasa meninjau operasi bas dan melawat CIQ BSI, di Johor Bahru, pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perkhidmatan bas henti-henti yang membawa penumpang merentasi sempadan Malaysia-Singapura akan beroperasi pada 1 Mei ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pada masa ini pengembara boleh menggunakan perkhidmatan bas laluan perjalanan vaksinasi (VTL) dan bas shuttle untuk berulang alik merentas sempadan di Tambak Johor.

"Perbincangan sedang dijalankan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Land Transport Authority (LTA) Singapura bagi menetapkan jumlah bas henti-henti yang akan digunakan nanti.

"Pada ketika ini, hanya terdapat 24 bas VTL dan enam bas shuttle yang dibenarkan merentas sempadan Johor-Singapura menerusi laluan Tambak Johor.

"Dalam tempoh dua minggu ini, perkhidmatan bas itu akan beransur pulih dan mampu pulih sepenuhnya menjelang hujung bulan ini seperti kembali ke tahap pra Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada Jumaat.

Katanya, ketika ini terdapat beberapa masalah yang perlu diselesaikan pengusaha bas henti-henti sebelum perkhidmatan itu kembali beroperasi sepenuhnya.

Menurutnya, antara masalah perlu diselesaikan pengusaha bas ialah penyelenggaraan, pemeriksaan di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) dan kekurangan pemandu setelah pemandu sedia ada beralih ke perkhidmatan logistik lain ketika tempoh pandemik yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai VTL, beliau berkata, perkhidmatan inisiatif itu diteruskan kerana semua tiket yang ada telah dijual.

Sementara itu, beliau berpuas hati dengan pembukaan sempadan antarabangsa negara yang melibatkan laluan darat dan udara yang bermula pada Jumaat dan semuanya berjalan lancar.

Ka Siong berkata, sebanyak 2,836 buah kenderaan telah memasuki Johor menerusi CIQ BSI di Tambak Johor setakat jam 4 petang ini.

Beliau berkata, jumlah kenderaan yang melalui Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua), dekat sini adalah sebanyak 1,600 kenderaan bagi tempoh yang sama.

Tambahnya, bagi laluan udara, sebanyak 29,661 penumpang domestik dan pelancong luar telah menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 manakala di KLIA 2 melibatkan seramai 19,314 penumpang.

"Segala proses merentasi sempadan berjalan lancar dan apa yang saya dapat lihat wajah mereka berseri apabila dapat kembali ke tanah air dan bertemu keluarga.

"Daripada segi aliran trafik bagi rentas sempadan darat di Johor, ia lancar dari Singapura ke sini. Ini adalah satu usaha antara kerajaan Malaysia dan Singapura dalam usaha memudahkan urusan rakyat," katanya.