Bas mengundur rempuh treler, 14 penumpang cedera

Keadaan bas ekspres yang terbabit kemalangan menyebabkan 14 penumpang cedera awal pagi Sabtu. - Foto Bomba Perak
Keadaan bas ekspres yang terbabit kemalangan menyebabkan 14 penumpang cedera awal pagi Sabtu. - Foto Bomba Perak
A
A
A

KUALA KANGSAR - [DIKEMAS KINI] Seramai 14 penumpang sebuah bas ekspres cedera selepas kenderaan dinaiki merempuh treler menyebabkan ia mengundur sejauh 700 meter di laluan mendaki di Kilometer 257.8 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 2.20 pagi itu, empat lelaki dan 10 wanita berusia lingkungan 17 hingga 41 tahun mengalami luka-luka kecil sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Baktiar Yaacob berkata, ketika kejadian, bas yang membawa 26 penumpang itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kajang, Selangor.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, semasa berada di kawasan mendaki, bas tersebut cuba memotong sebuah treler yang dipandu perlahan di laluannya dengan melalui lorong tengah.

"Selepas memotong, bas itu mendapati terdapat sebuah lagi treler dipandu perlahan di hadapan menyebabkannya gagal mengelak dan merempuh bahagian belakang treler berkenaan.

"Pelanggaran menyebabkan bas dipandu lelaki berusia 35 tahun itu gagal berhenti lalu mengundur dan merempuh treler yang berada di belakang.

"Bas berkenaan terus hilang kawalan dalam keadaan mengundur sejauh hampir 700 meter sebelum melanggar pembahagi jalan dan terhenti di lorong kanan," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, 14 penumpang dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan ringan.

Katanya, 12 penumpang lain tidak cedera dan telah meneruskan perjalanan dengan menaiki bas ganti.

"Pemandu bas hanya mengalami lenguh badan dan luka kecil manakala dua pemandu treler masing-masing berusia 31 dan 48 tahun tidak cedera.

"Pemeriksaan air kencing terhadap pemandu bas telah dibuat dan mendapati keputusan negatif. Siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.