Skim Perubatan Madani mula beroperasi di 7 lagi daerah

Penerima STR kini boleh mendapatkan rawatan percuma menerusi Skim Perubatan Madani di klinik perubatan swasta berdaftar di tujuh daerah terbaharu. - Gambar hiasan 123RF
Penerima STR kini boleh mendapatkan rawatan percuma menerusi Skim Perubatan Madani di klinik perubatan swasta berdaftar di tujuh daerah terbaharu. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kini boleh mendapatkan rawatan percuma menerusi Skim Perubatan Madani di klinik perubatan swasta berdaftar di tujuh daerah terbaharu, menjadikan skim berkenaan tersedia di 21 daerah seluruh negara.

Menurut ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) selaku pelaksana skim itu, daerah yang terlibat ialah Kota Bharu dan Pasir Mas di Kelantan, Kuantan (Pahang), Melaka Tengah (Melaka), Seremban (Negeri Sembilan), Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis.

"Penerima STR di semua daerah ini boleh mula mendapatkan rawatan percuma seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan di klinik perubatan swasta,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Skim Perubatan Madani bagi setiap isi rumah berkeluarga adalah sehingga RM250 manakala RM125 bagi warga emas (tanpa pasangan) dan RM75 bagi kategori bujang.

Penerima manfaat boleh mengenal pasti klinik terdekat dan semak kelayakan di laman sesawang www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani selain aplikasiMySejahtera.

Sementara itu, ProtectHealth telah menerima 210 permohonan pihak klinik swasta untuk menjadi panel klinik Skim Perubatan Madani dengan 25 klinik telah beroperasi di tujuh daerah berkenaan. - Bernama