Dron sebesar tapak tangan curi tumpuan di DSA, Natsec

Masri Muhammad menunjukkan dron Nano UAV kepada media ketika ditemui di Pameran DSA dan Natsec 2022.
Masri Muhammad menunjukkan dron Nano UAV kepada media ketika ditemui di Pameran DSA dan Natsec 2022.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah dron peninjau bersaiz tidak lebih dari tapak tangan mencuri tumpuan pengunjung di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 di sini.

Walaupun hanya bersaiz kira-kira lapan sentimeter (cm) dron yang diberi nama Nano UAV itu mengizinkan operator di lapangan untuk mengintip dan mengesan musuh dalam situasi taktikal dari jarak yang lebih selamat.

Malah dron model Nano UAV itu juga mampu terbang sejauh dua ke tiga kilometer (km) sekurang-kurangnya dalam masa 25 minit.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Delta Masis (M) Sdn Bhd, Masri Muhammad berkata, walaupun bersaiz kecil, namun dron berkenaan berkeupayaan tinggi sebagai peninjau dengan dilengkapi 'anti jammer'.

“Dron ini mempunyai alat pengesan dan mampu terbang setinggi 2,000 meter. Malah, ia juga dilengkapi alat pandang malam (NGV) untuk beroperasi pada waktu malam.

“Selain itu, ia juga mampu digunakan dalam kawasan terbina kerana mempunyai sistem ‘guidance avoidance’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada Rabu.

Masri berkata, dron buatan syarikat dari China itu turut dilengkapi pelan laluan pulang untuk memastikan ia tidak hilang kawalan atau sesat semasa operasi.

Artikel Berkaitan:

“Nano UAV ini turut dilengkapi dengan kamera berkualiti tinggi bagi memastikan setiap inci pergerakan serta kedudukan musuh dapat dikesan.

“Harga bagi sebuah dron buatan China ini adalah AS$165,000 atau mencecah lebih RM800,000 bagi setiap unit,” ujarnya.