Reruai Karangkraf jadi tumpuan pengunjung PBAKL

Dari kiri: Fatma Syahira dan rakannya Siti Norizzatul Nazera Mohamad Bajuri menunjukkan buku yang dibeli di reruai Karangkraf.
Dari kiri: Fatma Syahira dan rakannya Siti Norizzatul Nazera Mohamad Bajuri menunjukkan buku yang dibeli di reruai Karangkraf.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Musim cuti sekolah ketika ini digunakan sepenuhnya oleh orang ramai terutama ibu bapa, penjaga dan pelajar untuk hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.

Menurut seorang pesara, Nor Asiah Husin, 59, PBAKL memberikan peluang kepadanya untuk mendapatkan pelbagai bahan bacaan berkualiti termasuk buku kanak-kanak di reruai Kumpulan Karangkraf (Karangkraf).

Dia yang merupakan bekas pustakawan itu berkata, terdapat banyak pilihan ditawarkan di reruai berkenaan yang mampu menarik minat kanak-kanak.

Nor Asiah membeli buku kanak-kanak di reruai Karangkraf.
Nor Asiah membeli buku kanak-kanak di reruai Karangkraf.

"Buku Karangkraf untuk kanak-kanak ini bukan sekadar berbentuk bacaan tetapi juga ada banyak stiker di dalamnya contohnya 'Buku Aktiviti Dengan Chibi'.

"Jadi dua orang cucu saya memang suka," katanya yang menetap di Shah Alam kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dia yang berasal dari Taiping, Perak yang juga peminat majalah Nona turut mendapatkan produk lain terbitan Karangkraf seperti al-Quran.

Arfa Abas membeli buku kanak-kanak untuk dihadiahkan kepada anak saudaranya.
Arfa Abas membeli buku kanak-kanak untuk dihadiahkan kepada anak saudaranya.

Sementara itu, pengunjung, Arfa Abas, 24, berkata, dia membeli buku kanak-kanak terbitan syarikat Karangkraf untuk anak saudaranya kerana kandungannya yang memiliki nilai ketimuran.

"Macam buku Omar dan Hana bukan sekadar banyak gambar animasi, tapi ada pengisian islamik di dalamnya, jadi saya kira itu yang membuatkan Karangkraf nampak ada kelainan," ujar graduan Universiti Malaya itu.

Fatma Syahira Syukor, 16, memberitahu bahawa minatnya terhadap cerpen dan novel menjadikan dia tidak melepaskan peluang mendapatkan buku di reruai Karangkraf.

Jelas pelajar Sekolah Agama Menengah Pasir Panjang (SAMPP), Sekinchan itu, nilai kesusasteraan tinggi yang ada dalam karya terbitan Karangkraf membantunya dalam penguasaan bahasa Melayu dengan lebih baik.

"Semenjak di tingkatan satu lagi, saya sudah minat baca cerpen dan puisi. Kebetulan pula di PBAKL ini jumpa reruai Karangkraf, banyak pula buku menarik, memang tak lepaskan peluang untuk membelinya," katanya.

PBAKL 2023 yang berlangsung sejak Jumaat lalu hingga 4 Jun ini menampilkan 815 reruai yang disertai pempamer dari dalam dan luar negara.

Ia juga dianjurkan secara hibrid bagi tahun kedua dengan kerjasama platform e-dagang, Shopee bagi membolehkan akses meluas kepada peminat buku.