ADUN Pengkalan Hulu rayu peruntukan Bandar Sempadan dikembalikan

Aznel - Foto ihsan Sekretariat Dewan Negeri Perak
Aznel - Foto ihsan Sekretariat Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak diharap dapat mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi membangunkan Bandar Sempadan di Pengkalan Hulu yang menjadi pintu masuk pelancong dari Thailand ke negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim berkata, pada tahun 2020 sebanyak RM1.5 juta telah diluluskan bagi projek tersebut, namun ia ditarik balik pada tahun 2021 disebabkan pandemik Covid-19.

Menurutnya, tindakan itu menjejaskan perancangan untuk membangunkan kawasan sempadan sekaligus memberi kesan kepada imej negara kepada pelancong yang masuk melalui pintu sempadan berkenaan.

"Kawasan pintu masuk di sempadan negara di Pengkalan Hulu ini terlalu gelap dan ia memberikan satu persepsi buruk kepada negara oleh pelancong asing apabila masuk Malaysia sahaja terus gelap.

"Saya minta kerajaan negeri pertimbangkan peruntukan tambahan tahun ini untuk membuat kerja-kerja pencahayaan di pintu masuk negara yang gelap selain pembinaan gerai baharu yang dirobohkan," katanya kepada pemberita sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa.

Menurutnya, peruntukan itu juga diperlukan bagi membina semula gerai di kawasan sempadan Malaysia-Thailand yang dirobohkan sebelum ini.

Katanya, tindakan merobohkan gerai itu dilakukan selepas peruntukan membangunkan Bandar Sempadan itu diluluskan namun tidak menyangka peruntukan itu ditarik balik.

Aznel berkata, peniaga-peniaga di gerai tersebut kini berdepan masalah untuk menjalankan perniagaan di kawasan itu memandangkan sempadan negara mula dibuka mulai 1 April ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, disebabkan itu peruntukan berkenaan amat diperlukan semula bagi membantu menjaga imej negara dan memastikan peniaga boleh menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.