Kerajaan ikhtiar peruntukan tambahan untuk perumahan polis

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan mencari peruntukan tambahan bagi penyelenggaraan rumah polis seluruh negara menerusi belanjawan akan datang.

Beliau berkata, ketika ini hanya sekitar 40 ke 60 peratus kediaman polis boleh diduduki sementara lainnya berada dalam keadaan tidak selamat.

"Untuk perumahan polis, saya tak perlu tanya lagi elok atau tidak, memang saya dah tahu.

"Jadi Insya-ALLAH dalam belanjawan Madani yang dibentangkan pada Oktober ini, saya akan cuba ikhtiar dapatkan peruntukan tambahan untuk perumahan polis.

"Isu perumahan tujuan paling utama kita di sini dan kita akan tambah peruntukan dengan segera untuk baiki yang asas dahulu, yang lain akan diberi perhatian kemudian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Jamuan Rakyat YAB Perdana Menteri bersama warga dan keluarga Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di Dewan Briged Utara PGA di sini pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Nordin Manan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jaminan itu diberikan berdasarkan keyakinan terhadap kemampuan negara mencatatkan keuntungan tinggi hasil kemasukan pelaburan syarikat besar termasuklah milik Elon Musk dan syarikat automotif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).

Artikel Berkaitan:

"Malah, syarikat semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG juga baru membuat keputusan tiga minggu lalu untuk memilih Malaysia dengan pelaburan sekitar RM20 bilion.

"Jika tidak ada pelaburan, saya tidak mampu umum peruntukan tambahan kerana tiada hasil. Inilah kerangka yang kita harus faham," katanya.

Pada Julai lepas, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan RM150 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha menjamin keselesaan anggota keselamatan negara.