Dua kes sihir disiasat di Kelantan: Jaheaik

Gambar hiasan. - Foto sumber Internet. (Gambar kecil) Dr Hasnan Ramli
Gambar hiasan. - Foto sumber Internet. (Gambar kecil) Dr Hasnan Ramli
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) menyiasat dua laporan berkait kes sihir selepas Undang-undang Islam, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan yang mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dikuatkuasakan di seluruh negeri ini bermula 1 November tahun lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Jaheik, Dr Hasnan Ramli berkata, melalui pindaan itu pihaknya boleh melakukan siasatan berkait dengan aduan tersebut.

"Sebelum ini kita tidak boleh menjalankan siasatan berkait kes sihir namun sejak enakmen itu digubal kita sudah boleh menyiasat dakwaan tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Jaheaik pada Isnin.

Menurutnya, setakat ini belum ada pendakwaan dan kes tersebut masih dalam siasatan pihak Jaheaik.

Beliau berkata, dua laporan kes melibatkan sihir itu diterima di jajahan Kota Bharu.

Hasnan berkata, bermula Januari hingga Februari lalu sebanyak 70 kes termasuk sihir telah disisat oleh pihaknya.

"Daripada jumlah itu ia melibatkan perbuatan tidak sopan (22), pondan (1), khalwat (33), mukadimah zina (1), hamil luar nikah (5), mendedahkan aurat (1) dan mengganggu rumah tangga orang lain (5)," katanya.

Sinar Harian 1 November lalu melaporkan, kerajaan negeri Kelantan akan mula melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini dengan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Artikel Berkaitan:

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 telah memilih kaedah pelaksanaan hukuman retributif (hukuman setimpal dengan kesalahan) dan restoratif (hukuman bersifat pemulihan) untuk memulih dan memberi kesedaran kepada pesalah syariah.

Sejak Pas diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir Kelantan pada tahun 1990, pelbagai usaha dijalankan bagi merealisasikan impian melaksanakan undang-undang Islam di negeri ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-undang Jenayah Syariah pada tahun 1993 sebelum diwujudkan Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993.

Bagaimanapun, enakmen edisi 1993 tidak dapat dikuatkuasakan atas sebab dan halangan tertentu.