Tangguh CIQ Kalabakan bakal rugikan ekonomi Sabah

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KALABAKAN - Keputusan menangguhkan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) bernilai RM600 juta di Serudong di sini, dilihat bakal merugikan ekonomi Sabah, berikutan Kalimantan Timur akan dibangunkan sebagai ibu negara baharu Indonesia.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Sabah terutama kawasan pantai timurnya bakal mendapat tempias ekonominya, namun bagi meraih faedah ekonomi itu kemudahan asas seperti CIQ dan Lebuhraya Trans-Borneo menghubungkan Sabah-Kalimantan perlu disediakan.

Sehubungan itu beliau memohon kerajaan Persekutuan untuk menarik balik penangguhan itu kerana CIQ Kalabakan dilihat akan menjadi antara pintu masuk utama Sabah dan Kalimantan Utara seterusnya memberikan limpahan ekonomi terutama kepada penduduk setempat.

"Sudah terlalu lama Sabah ketinggalan daripada sektor ekonomi berbanding Semenanjung walaupun hakikatnya kita menyumbang hasil yang banyak, apabila ada projek yang baik diumumkan, kerajaan pula menangguhkan atas alasan tiada peruntukan.

"Alasan ini tidak boleh diterima kerana CIQ itu akan membantu lonjakan ekonomi Sabah kesan daripada perpindahan ibu kota Indonesia di Kalimantan...ini (penangguhan) amat mengejutkan lebih-lebih lagi projek berkenaan telah pun bermula dan berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan pada malam Ahad.

Bung Moktar berkata, sekiranya keputusan penangguhan itu diteruskan maka Sabah dilihat akan terus ketinggalan terutama daripada segi ekonomi meskipun peluang untuk memajukan ekonomi itu sudah terbuka di depan mata.

Rabu lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menjawab secara bertulis soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) di Parlimen, dilaporkan berkata, bahawa CIQ Kalabakan ditangguhkan berikutan tiada peruntukkan diberikan Kementerian Kewangan. - Bernama

Artikel Berkaitan: