Polis rampas rokok, arak seludup, kenderaan bernilai RM7 juta

Polis telah merampas 1,075 kotak besar rokok dan 57 guni mengandungi rokok kretek pada Isnin.
Polis telah merampas 1,075 kotak besar rokok dan 57 guni mengandungi rokok kretek pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan merampas rokok seludup dan minuman keras dalam operasi di sebuah kilang di Kawasan Industri Parit Tinggi, Kuala Pilah dekat sini pada Isnin.

Operasi jam 2 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, hasil pemeriksaan telah menjumpai 1,075 kotak besar rokok dan 57 guni mengandungi rokok kretek.

"Turut dijumpai 3,192 tin arak dan 278 botol arak yang mana kesemua barangan tersebut telah dirampas.

"Selain itu turut dirampas ialah empat kenderaan termasuk sebuah lori yang disyaki digunakan oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Tambahnya, lima lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an turut ditahan bagi membantu siasatan dan kesemua suspek telah direman lima hari bermula pada 13 Jun (Selasa) hingga 17 Jun (Sabtu) ini.

"Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda barang atau RM500,000 atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya," katanya.