[VIDEO] Kastam rampas kokain 302kg bernilai RM60.44 juta

Zazuli (tiga dari kiri) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas pada sidang media di JKDM di Kampung Jijan, Nilai pada Isnin.
Zazuli (tiga dari kiri) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas pada sidang media di JKDM di Kampung Jijan, Nilai pada Isnin.
A
A
A

NILAI - Cubaan sindiket pengedaran dadah mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyorok bahan terlarang itu di dalam kontena berisi bungkusan guni kacang soya berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) minggu lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan dadah jenis kokain seberat 302.20 kilogram itu bernilai RM60.44 juta.

"Kita telah menerima maklumat risikan daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengenai sebuah kontena berukuran 6.1 meter (20 kaki) yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor pada 6 Jun lalu jam 9.45 malam.

"Pemeriksaan dilakukan pasukan dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menjumpai 10 beg guni mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain," katanya pada sidang media di JKDM di Kampung Jijan di sini pada Isnin.

Menurutnya, sindiket itu telah mengikrarkan barangan terbabit sebagai kacang soya sedangkan di dalamnya telah disorokkan dengan guni-guni mengandungi serbuk putih disyaki kokain.

Ujarnya, hasil siasatan awal mendapati kontena berkenaan dibawa dari sebuah negara di Amerika Selatan sebelum transit ke sebuah negara di Asia Tenggara, namun telah ditahan sebaik tiba di Pelabuhan Klang, Selangor.

"Kontena tersebut dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Selatan," katanya.

Sementara itu katanya, pihaknya juga turut berjaya merampas dadah jenis ketamin seberat 151.85 kilogram bernilai RM9.113 juta dalam dua kes berbeza minggu lalu.

Zazuli berkata, dalam kes pada 6 Jun, sebanyak 15 buah kotak telah disita di Kompleks Kargo Udara KLIA, Sepang, Selangor.

"Hasil pemeriksaan ke atas kotak tersebut telah menjumpai 107 bungkusan plastik mengandungi bahan ketulan putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 126.55 kilogram yang dianggarkan bernilai RM7.593 juta.

"Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, sindiket itu telah mengikrarkan barang berkenaan sebagai periuk dan pasu seramik sedangkan di dalamnya terdapat kotak mengandungi dadah," katanya.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, ia diimport dari sebuah negara di Eropah dan mendarat di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai destinasi terakhir.

Tambahnya, pengimport juga menggunakan maklumat palsu di dalam dokumen pengimportan yang telah menyukarkan lagi tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan.

"Namun siasatan masih dilakukan bagi mengesan suspek bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Selain itu katanya, dalam kes di Pelabuhan Klang, Selangor JKDM dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah menyita satu kotena sejuk beku 4 Jun lalu.

"Pemeriksaan dilakukan telah menjumpai 25 peket mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 25.30 kilogram.

"Bungkusan paket berkenaan disorok di dalam dinding kontena sejuk beku yang berisi makanan laut," katanya