KPDN bongkar penyelewengan diesel bernilai setengah juta

KPDN Terengganu mengesan lokasi bagi menjalankan aktiviti penyelewengan diesel di sebuah tapak pembinaan di Kuala Terengganu.
KPDN Terengganu mengesan lokasi bagi menjalankan aktiviti penyelewengan diesel di sebuah tapak pembinaan di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an kerana disyaki menyeleweng 32,670 liter diesel dianggarkan bernilai RM510,434.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, dua warga tempatan termasuk seorang pemandu lori itu ditahan dalam serbuan menerusi Ops Tiris di sebuah tapak projek pembinaan di sini, kira-kira jam 3.30 petang pada Rabu.

"Kegiatan menyalahi undang-undang itu terbongkar hasil risikan dijalankan selama dua minggu.

"Selain merampas 32,670 liter diesel, kita turut merampas sebuah lori, beberapa tangki simpanan minyak serta peralatan yang digunakan untuk kegiatan pemindahan minyak diesel," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, KPDN telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu dibawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti terbabit.

Jelas Saharuddin, individu terlibat ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi pesalah individu.

Katanya, hukuman ke atas syarikat pula melibatkan denda tidak melebihi RM2 juta jika disabitkan kesalahan.

"Kita juga mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuk melibatkan sumber perolehan dan pengedaran," ujar beliau.