RM2.814 juta untuk 469 KRT perkasa kepimpinan komuniti

Halimah (tengah) menyampaikan replika geran KRT kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang, Ahmad Rizal Mohd Hanapiah (kanan) pada majlis penyampaian geran KRT Komuniti Sejahtera, Keluarga Malaysia peringkat negeri Pulau Pinang 2022 pada Ahad. - Foto Bernama
Halimah (tengah) menyampaikan replika geran KRT kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pulau Pinang, Ahmad Rizal Mohd Hanapiah (kanan) pada majlis penyampaian geran KRT Komuniti Sejahtera, Keluarga Malaysia peringkat negeri Pulau Pinang 2022 pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperuntukkan RM2.814 juta bagi 469 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang aktif di Pulau Pinang untuk memperkasa kepimpinan komuniti melalui teras, strategi dan program-program yang berimpak tinggi.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata jumlah itu, merupakan sebahagian dari RM50 juta peruntukan geran yang telah disediakan oleh kerajaan Persekutuan kepada 8,330 KRT di seluruh negara, bagi menjalankan inisiatif di bawah Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030.

"Dengan peruntukkan ini, semua peringkat komuniti akan dilibatkan melalui program dan aktiviti melalui Gerak Kerja Komuniti Rukun Tetangga 2022,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Geran Rukun Tetangga Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia, peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022.

Tambahnya, Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 merupakan inisiatif KPN, untuk memperkasa dan memperkukuhkan lagi peranan Rukun Tetangga sebagai sebuah organisasi sukarela dalam komuniti, yang dianggotai oleh pelbagai lapisan Keluarga Malaysia.

Ketika lawatan kerja ke Pulau Pinang, beliau turut merasmikan Majlis Program Tabika Perpaduan Dihatiku Bagi Tahun 2022 bertempat di Tabika Perpaduan Sungai Bakap dengan membuat serahan kit permulaan kepada murid dan Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan (JPTP).

Menurutnya, pihak kementerian sentiasa menambah baik kualiti pendidikan di Tabika Perpaduan, dan merancang untuk menambah bilangan tabika di seluruh negara, pada masa akan datang.

Katanya Tabika Perpaduan masih mendapat sambutan, apabila sehingga kini terdapat 1,781 tabika berkenaan dengan keseluruhan 37,000 murid di seluruh negara.

"Setakat ini jumlah ini kita kekalkan, tetapi pada masa sama, kita juga sedang menjalankan kaji selidik untuk membuka lebih banyak Tabika Perpaduan pada masa akan datang. Pembukaan Tabika Perpaduan dibuat mengikut permohonan atau keperluan daripada ibu bapa di sesuatu kawasan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak buka begitu sahaja, kerana banyak perkara perlu diambil kira terutama dari sudut kawasan. Contohnya, jika di kawasan itu sudah mempunyai tabika lain, sudah tentu kita tidak akan membuka Tabika Perpaduan di lokasi sama,” katanya.

Pihak kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM271,260 yang memanfaatkan seramai 2,466 kanak-kanak Tabika Perpaduan di negeri Pulau Pinang, sebagai usaha mengurangkan beban ibu bapa menguruskan anak untuk memulakan alam persekolahan di Tabika Perpaduan. - Bernama