Dewan Rakyat ditangguh selepas 16 hari bersidang

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 melabuhkan tirai pada Khamis setelah bersidang selama 16 hari bermula 28 Februari lepas yang menyaksikan tujuh rang undang-undang diluluskan termasuk Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022.

Rang undang-undang yang antara lain bertujuan mengadakan peruntukan ketidakpakaian Perkara 119 kepada Raja-raja berhubung pendaftaran pemilih itu diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis dengan sokongan lebih dua pertiga ahli Parlimen.

Antara yang turut diluluskan pada Khamis ialah Rang Undang-undang Syarikat Labuan (Pindaan) 2022 ; Rang Undang-undang Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan (Pindaan) 2022; dan Rang Undang-undang Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan (Pindaan) 2022.

Selain itu, Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2021; Rang Undang-undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2021) 2022 turut diluluskan sepanjang persidangan ini.

Persidangan kali ini juga menyaksikan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 27 kementerian selesai menggulung perbahasan yang berlangsung selama empat hari bermula 14 Mac.

Persidangan kali ini turut mencipta sejarah apabila usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan Dewan Rakyat.

Keputusan yang tidak menyebelahi blok kerajaan itu diputuskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 85 ahli Parlimen bersetuju, manakala 86 lagi tidak bersetuju dan 49 tidak hadir.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 turut mengumumkan satu Sidang Khas Parlimen bagi membentangkan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti akan diadakan pada 11 April ini.

Sebelum menamatkan persidangan kali ini, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dalam ucapan penutup menyampaikan pantun dengan nada berseloroh mengingatkan ahli Parlimen supaya meningkatkan amalan dalam bulan Ramadan dan kurangkan berpolitik.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rashid kemudiannya menangguhkan sidang dewan ke suatu tarikh yang akan diumumkan kelak. - Bernama