Tiga RUU di bawah Kementerian Kewangan diluluskan

Tiga Rang Undang-Undang (RUU) di bawah Kementerian Kewangan diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis. - Foto Bernama
Tiga Rang Undang-Undang (RUU) di bawah Kementerian Kewangan diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga Rang Undang-Undang (RUU) di bawah Kementerian Kewangan diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata, dua RUU iaitu Rang Undang-Undang Syarikat Labuan (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Syarikat Labuan 1990 serta Rang Undang-Undang Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan 2010 telah dibahaskan dan diluluskan.

Manakala Rang Undang-Undang Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Labuan (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Perkhidmatan Kewangan 2010 diluluskan tanpa dibahas.

Beliau berkata, pindaan tersebut adalah untuk memastikan akta-akta di bawah Labuan menjadi lebih efektif, terkini dan boleh memenuhi keperluan sektor kewangan yang sentiasa berubah.

"Berdasarkan pernilaian risiko yang dibuat ke atas Malaysia termasuk Labuan IBFC di bawah Financial Action Task Force (FATF) pada tahun 2014, FATF telah mencadangkan agar Akta 441 dipinda untuk memasukkan beberapa peruntukan bagi memenuhi piawaian antarabangsa berkaitan anti pengubahan wang haram dan menangani keganasan.

"Secara khususnya pindaan terhadap akta ini adalah berkaitan dengan beberapa pelan tindakan di bawah National Strategic Action Plan (NASP) yang perlu dilaksanakan pada tempoh 2015 hingga 2020," katanya semasa menggulung pembentangan Rang Undang-Undang tersebut di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia serta Labuan IBFC akan dinilai sekali oleh FATF pada tahun 2024 dan 2025, di mana pernilaian tersebut akan melihat dari segi pelaksanaan cadangan yang telah digariskan di bawah NASP yang disyorkan di bawah pelan tindakan Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan.

"Sehubungan itu, pindaan yang dicadangkan perlulah diberi keutamaan supaya penarafan Malaysia berkaitan pematuhan piawaian antarabangsa berkenaan dengan menangani keganasan dan anti pengubahan wang haram ini tidak terjejas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, antara pindaan pada Akta 441 yang dibuat termasuk melarang pengeluaran waran syer mana-mana syarikat di Labuan. - Bernama