Dewan Rakyat kecoh, 4 ahli Parlimen diarah keluar dewan

Shahidan antara yang diarah keluar Dewan Rakyat pada Isnin.
Shahidan antara yang diarah keluar Dewan Rakyat pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat sekali lagi kecoh pada Isnin apabila Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) dan RSN Rayer (PH-Jelutong) diarah keluar dewan ketika membangkitkan isu kenyataan bahawa tanah rizab Melayu di Kedah menunjukkan pengurangan terendah di negara ini.

Manakala, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) diarah keluar selepas memasuki dewan meskipun telah digantung selama tiga hari sejak Rabu lalu daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Pendang ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kewangan 2023 menafikan perkara tersebut dengan membacakan fakta daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah bahawa sejak tahun 1933 sehingga kini, tanah rizab Melayu di Kedah telah meningkat sebanyak 408,000 ekar (165,111 hektar).

"Jadi maknanya pengurusan Kedah sangat baik. Jadi menteri kalau tak ada maklumat jangan cakap, jangan bohong. Menteri kewangan sila bagi peruntukan untuk pejabat tanah semak balik mana negeri-negeri yang banyak hilang tanah rizab Melayu.

"Menteri yang tak reti bercakap macam ni mengelirukan dewan sila perbetulkan balik, tarik balik mohon balik kenyataan Kedah negeri paling banyak hilang rizab Melayu,"katanya.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) bangun mempertikaikan perkataan 'menteri bohong' yang disebut Pendang dan meminta Pendang menarik balik perkataan tersebut kerana melanggar peraturan dewan.

Pendang bagaimanapun mempertahankan diri dan berkata:

"Saya kata fakta tak betul maksudnya bohong, Bagan, Bahasa Melayu kena faham. Saya ada fakta dari PTG dari tahun 1933... tak betul bohong la... dia (menteri) bercakap tak betul," katanya.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) kemudiannya bangun mencelah dengan turut meminta Pendang menarik balik perkataan 'bohong'.

"Tak betul tak semestinya bohong, tak betul boleh jadi silap. Jadi tarik baliklah," katanya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong turut membuat keputusan dan meminta Pendang menarik balik kenyataan tersebut.

"Pendang tarik balik. Tidak betul adalah tidak betul bukan bohong. Cakap tak betul. Kalau mengelirukan dewan buat usul bukan cakap di sini.

"Kalau fakta tak betul, kata silap suruh dia rujuk pada fakta... tak boleh terus kata dia bohong dalam dewan," katanya.

Pendang kekal mempertahankan kenyataannya dan menyifatkan kesalahan fakta yang dinyatakan berkaitan tanah rizab Melayu Kedah adalah berniat jahat dan berbohong.

Alice mempersoalkan bagaimana Pendang boleh membuktikan menteri berniat untuk berbohong dan sekali lagi meminta Pendang menarik balik kenyataan, dan minta keluar dewan sekiranya enggan selama sejam.

"Bohong bermaksud berniat jahat. Sila rujuk peraturan mesyuarat dulu sebelum suruh saya rujuk Kamus Dewan," katanya.

Kekecohan terus berlangsung apabila Pendang tidak mahu menarik balik perkataan 'bohong' namun fungsi pembesar suara dimatikan.

Secara tiba-tiba, Jelutong bangun dan meminta Arau menarik balik perkataan 'penyamun' yang didakwa ditujukan kepada Bagan.

Alice turut meminta Arau berbuat demikian.

"Arau, saya dengar, sila tarik balik," katanya.

Arau kemudiannya menjawab:

"Saya tak tekan mic (pembesar suara),".

Jelutong terus mendesak Arau menarik balik dan menyatakan Arau sebagai biadab kerana mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Walaupun tak tekan mic, tak bermaksud boleh marah orang dengan penyamun dalam dewan," balas Alice.

Arau mempersoalkan keputusan Alice yang meminta beliau keluar sedangkan Jelutong menggunakan perkataan 'biadab' didakwa turut melanggar peraturan dewan.

Alice yang enggan kekecohan berterusan akhirnya mengarahkan supaya Arau dan Jelutong keluar dewan.

"Dua-dua keluarlah Jelutong dan Arau, Dua-dua keluar sekejap. Jangan bazir masa lagi, Arau dan Jelutung boleh pergi berehat sekejap," katanya.

Sejurus kemudian, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor mengambil tempat.

Beliau kemudiannya menegur Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) yang dilihat berada dalam dewan.

"Saya dah arahkan tiga hari (gantung hadir sidang). Kenapa masuk hari ini," katanya.

Besut cuba mempertikaikan arahan tersebut, namun akhirnya akur dan keluar dewan selepas Ramli menjelaskan penggantungan tiga hari adalah merujuk kepada hari persidangan.