Sidang Dewan Rakyat ditangguh

Sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Kedua Parlimen ke-15 ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.
Sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Kedua Parlimen ke-15 ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Kedua Parlimen ke-15 ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, sebanyak 12 rang undang-undang dan empat usul daripada pihak kerajaan telah diluluskan di samping usul menjunjung kasih Titah Diraja mengenai Belanjawan 2023.

“Dalam pada itu mesyuarat kali ini juga memperlihatkan pelbagai pembaharuan yang telah diterapkan dalam urusan Dewan Rakyat, antaranya waktu pertanyaan menteri bagi hari Selasa dijawab oleh Perdana Menteri.

“Mesyuarat kali ini juga memperlihatkan jumlah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan kerap kali melebihi 10 pertanyaan lisan.

“Ini disusuli dengan kamar khas yang telah memberi peluang kepada ahli yang berhormat seramai tujuh orang daripada kerajaan dan enam daripada pembangkang untuk mempengerusikan secara sementara mesyuarat di bawah peraturan Mesyuarat 16 (5), tidak pernah terjadi,” katanya dalam ucapan penangguhan sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Sebagai rekod, persidangan Dewan Rakyat telah berlangsung selama 31 hari bermula 13 Febuari hingga 4 April 2023.

Dalam pada itu Johari turut memaklumkan, sebanyak 83 ucapan telah dirunding di kamar khas dalam tempoh 29 hari sejak sesi persidangan berlangsung.

Malah beliau berkata, usul mengenai tadbir urus kerajaan di bawah perkara Mesyuarat 17 di kamar khas boleh diucap lebih dua usul daripada maksimum empat usul daripada dua ahli Dewan Rakyat.

“Melihat kesungguhan ahli yang berhormat dalam urusan dewan, sidang Dewan Rakyat kerap berlanjutan hingga waktu malam, terdapat juga hari yang mana sidang tidak ditangguhkan pada 1 tengah hari.

“Saya dan timbalan-timbalan saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua ahli dewan yang memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan majlis mesyuarat dapat disempurnakan," katanya.