Ada khilaf kiraan undi usul Sosma: Speaker

Azhar Azizan ketika mengendalikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Azhar Azizan ketika mengendalikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan terdapat kekhilafan dalam pengiraan undi ahli Parlimen ketika usul Subseksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Azhar Azizan berkata, makluman tersebut diberitahu oleh ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif yang bertindak sebagai penghitung undi.

“Yang Berhormat Jempol (Salim) telah memaklumkan berkenaan senarai undi di blok D1 semasa undi belah bahagian bagi usul dari Menteri Dalam Negeri yang dijalankan pada Rabu, 23 Mac 2022.

“Beliau yang merupakan penghitung undi bagi blok D1 memaklumkan telah terkhilaf menandakan Yang Berhormat Besut (Datuk Seri Idris Jusoh) tidak hadir dalam senarai undi walaupun sebenarnya Yang Berhormat Besut hadir semasa undian.

“Oleh itu, saya menggunakan Peraturan Mesyuarat 100 untuk meminda keputusan belah bahagian bagi usul dari Menteri Dalam Negeri tersebut daripada 84 bersetuju kepada 85 bersetuju dan tidak hadir dipinda dari 50 kepada 49 sahaja, manakala 86 tidak bersetuju tetap sama,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ekoran permaklumkan Azhar Azizan, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) bangun menyatakan cadangan tambah baik bagi sistem undian di Dewan Rakyat.

“Ini kali kedua dalam Parlimen kita lihat kekhilafan berlaku, sebelum ini saya pernah tegur.

“Saya rasa mungkin sekiranya Tan Sri (Azhar Azizan) boleh mempertimbangkan satu transformasi atau reformasi cara kita membuang undi ditambah baik kerana sekarang masih manual.

Artikel Berkaitan:

“Kita dengar ada ahli Parlimen yang tiada (dalam Dewan Rakyat) tetapi hampir ditandakan ada, kecuali ada pemerhati. Mungkin kita kena kaji apa yang boleh dilakukan,” ujarnya.