Dewan Rakyat rehat 10 minit, pembangkang gesa undi belah bahagian

Ramli - Foto Bernama
Ramli - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sesi Dewan Rakyat pada Khamis berlaku kekecohan apabila blok pembangkang mempersoalkan hanya terdapat dua Rang Undang-Undang (RUU) dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) diputuskan.

Perkara tersebut dibangkitkan ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan setelah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong membentangkan usul menangguhkan persidangan sehingga RUU selesai dibahas dan diputuskan.

RUU berkenaan adalah berkaitan RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 dan RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023.

“Soalan kami di pihak pembangkang, hari ini baru hari keempat. Kita ada tujuh hari lagi. Adakah kerajaan tidak mempunyai apa-apa RUU untuk tujuh hari lagi? Adakah kerajaan mahu mengejutkan kita?

"Soalan pertama, adakah ada RUU lagi untuk tujuh hari persidangan lagi. Kalau ada bila? Apa lagi yang ada. Soalan ini dituju kepada kerajaan. Mungkin kementerian-kementerian sibuk untuk mengadakan filem The Truth Story, Untold Story sudah menjadi Unsold Story,” katanya pada Khamis.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut bangkit dengan menyatakan bahawa persidangan mesyuarat perlu mendahulukan urusan kerajaan sebelum urusan lain.

“Mesyuarat hari ini habis awal. Jika habis awal, ini bererti usul pendirian yang dibawa oleh Arau boleh diketengahkan. Kalau tidak mahu Arau, ambil juga Arau,” jelasnya.

Setelah tu, ahli Parlimen blok pembangkang bangun bagi menggesa undi belah bahagian dilakukan.

Apabila mendapati lebih 15 ahli Parlimen berdiri, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor memutuskan untuk sesi Dewan Rakyat direhatkan selama 10 minit bagi undi belah bahagian.

Setelah undian dilakukan, keputusan menunjukkan bahawa seramai 83 ahli Parlimen bersetuju supaya persidangan pada hari ini ditangguhkan selepas dua RUU dalam AUM diputuskan.

Sementara itu, hanya seramai 52 ahli Parlimen tidak bersetuju dan 86 lagi tidak hadir serta satu tidak mengundi.

“Yang tidak mengundi adalah saya,” tambah Ramli.