Inspem ketuai penyelidikan, pembinaan kapal Mendam Berahi

Rohaidah (kanan) dan Muhammad Rezal menunjukkan replika kapal Mendam Berahi di Inspen pada Khamis.
Rohaidah (kanan) dan Muhammad Rezal menunjukkan replika kapal Mendam Berahi di Inspen pada Khamis.
A
A
A

SERDANG - Institut Penyelidikan Matematik (Inspem), Universiti Putra Malaysia (UPM) sedang mengetuai projek penyelidikan dan pembinaan mercu tanda tamadun Melayu iaitu kapal utama kerajaan Melaka, Mendam Berahi.

Ketua Laboratori Etnomatematik dan Didaktik, Prof Madya Dr Rohaidah Kamaruddin berkata, pelaksanaan penyelidikan terhadap kapal tersebut mengambil masa hampir empat tahun.

Rohaidah menambah, beliau dan pasukannya sebelum ini telah menjelajah Jepun, India, Turki dan United Kingdom untuk mengumpul manuskrip lama mengenai kapal berkenaan sebelum menterjemahkannya daripada bahasa purba ke bahasa dan sistem metrik moden.

“Kami mengambil masa lebih kurang empat bulan untuk menterjemahkan ukuran dan kiraan sebenar kapal Mendam Berahi bagi memastikan ia betul dan tepat.

“Unit ukuran yang digunakan dalam manuskrip lama ialah gaz. Jadi, kita perlu tukarkan kepada unit metrik moden menjadikan ukuran kapal ini 50.292 meter (panjang) dan 10.9728 meter (lebar),” katanya ketika sidang akhbar di Inspen di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Inspem, Profesor Dr Muhammad Rezal Kamel Ariffin.

Mengulas lanjut, Rohaidah berkata, pihaknya dalam proses menyediakan pelan tindakan (blueprint) projek pembinaan kapal Mendam Berahi yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

“Kalau mengikut anggaran pihak industri kapal, pembinaan ini menelan belanja lebih RM10 juta.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, penghasilan kapal ini juga akan berpandukan manuskrip lama termasuklah Hikayat Hang Tuah kerana Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menerima sebagai buku manuskrip teragung. Jadi, tiada penipuan yang boleh kita buat pada kapal ini.

“Kita akan kekalkan ukuran dan reka bentuk asal kapal Mendam Berahi, namun untuk projek ini kita tidak akan gunakan kayu cengal batu seperti asal, sebaliknya material berlainan bagi menjimatkan kos pembinaan,” katanya.

Beliau menambah, apabila siap dibina kapal tersebut, ia bukan hanya dapat mengembalikan kegemilangan sejarah tamadun negara, malah dapat mengembangkan lagi sektor pelancongan.

“Justeru, dalam blueprint ini kita akan membina kapal Mendam Berahi setinggi tiga tingkat bangunan dengan memuatkan 200 kapasiti penumpang.

“Kita juga akan mendapatkan pandangan pakar termasuk pihak industri, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain mengalukan pihak berkaitan menyumbang dana dan idea untuk menghasilkan kapal tersebut,” katanya.