Rumah Ngaji, TLDM jayakan Malaysia #QuranHour atas kapal

Anuar (dua dari kiri) menyokong penuh penganjuran Malaysia #QuranHour diadakan di KD Teguh Samudera selepas cadangan tersebut dikemukakan Maziah (dua dari kanan)
Anuar (dua dari kiri) menyokong penuh penganjuran Malaysia #QuranHour diadakan di KD Teguh Samudera selepas cadangan tersebut dikemukakan Maziah (dua dari kanan)
A
A
A

MANJUNG - Buat julung kalinya, Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh akan bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjayakan penganjuran Malaysia #QuranHour di atas Kapal Diraja (KD) Teguh Samudera di Pangkalan TLDM Lumut di sini.

Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, ilham untuk mengadakan program berkenaan di atas kapal itu tercetus menerusi satu kunjungan hormat ke atas Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksamana Muda Datuk Anuar Mohamed.

Menurutnya, secara kebetulan pihak TLDM sedang mengadakan Pesta Merdeka Lumut 2023 dengan pelbagai aktiviti serta pengisian dan penganjuran Malaysia #QuranHour ini menyerikan lagi program sedia ada.

"Sebelum ini kita sudah pun bekerjasama dengan TLDM pada bulan April lalu di premis Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh sempena World #QuranHour.

"Melihat kepada kejayaan dan manfaat program #QuranHour ini, kami meneruskan kerjasama kali ini dengan tampil memberi kelainan untuk membaca dan menghayati al-Quran di dek KD Teguh Samudera sempena Malaysia #QuranHour.

"Alhamdulillah, saya sebenarnya terharu dengan komitmen yang diberikan oleh pihak TLDM khususnya Datuk Anuar untuk menjayakan progam ini bersama-sama Ruman Ngaji Komuniti Teluk Muroh. Kita harap kerjasama ini akan berterusan untuk program-program seterusnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, dijangka seramai kira-kira 50 orang akan turut serta dalam program ini melibatkan 30 orang pemegang Panji Al-Insan dan 20 orang lagi terdiri daripada pegawai serta anggota TLDM diketuai Pegawai Memerintah KD Teguh Samudera, Komander Mohd Khairul Jamal Hamad.

Sementara itu, Maziah berharap program Malaysia #QuranHour ini mencapai matlamat untuk seluruh rakyat di negara ini khususnya yang beragama Islam bukan sahaja membaca tetapi memahami dan mengamalkan panduan terkandung di dalam al-Quran.

"Dengan penganjuran program seperti ini kita mahu agar al-Quran ini mesti dijadikan sahabat sepanjang masa sama ada ketika senang atau susah tanpa mengira masa dan tempat.

Artikel Berkaitan:

"Semoga dengan keberkatan program bacaan al-Quran ini memberi keselamatan kepada warga kapal dan aset-aset TLDM dalam menjaga kedaulatan perairan negara," katanya.

Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan Malaysia #QuranHour yang ke sembilan pada kali ini dengan bertemakan Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar.

Program ini diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr.

Lokasi perdana bagi Malaysia #QuranHour akan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada jam 12 hingga 1 tengah hari, pada 30 Ogos selain ia turut dilaksanakan di beberapa lokasi utama di seluruh negara.

Di Perak, Politeknik Ungku Omar di Ipoh akan menjadi lokasi utama bagi penganjurannya di Perak dengan penyertaan dijangka seramai 800 orang.