Teks ucapan penuh PM: Pengumuman penyasaran bahan api bermula diesel di Semenanjung

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

BERIKUT adalah teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pengumuman penyasaran bahan api bermula diesel di Semenanjung.

Mukadimah:

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Saudara-saudari yang saya muliakan,

1. Malam ini, saya berdiri di hadapan saudara-saudari, untuk berkongsi serta memberi pencerahan perihal kedudukan ekonomi negara saat ini serta pencerahan mengenai mengapa suatu ikhtiar itu digerakkan. Saya akan turut berkongsi pencapaian yang telah kita raih yang telah memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

2. Alhamdulillah, pencapaian ekonomi bagi permulaan tahun 2024 adalah amat memberangsangkan. Bagi suku pertama 2024, kita meraih pertumbuhan ekonomi pada kadar 4.2%; iaitu melebihi anggaran kebanyakan pihak yang mengunjurkan pada 3.9%.

3. Meski dalam suasana ekonomi dunia yang terus dalam ketidaktentuan, hampir kesemua sektor telah melonjak dan memangkin pertumbuhan buat suku pertama tahun 2024.

Antaranya: Pasaran buruh berkembang 2.1% menjadikan jumlah tenaga kerja meningkat kepada 16.4 juta.

Artikel Berkaitan:

Kadar inflasi kekal rendah pada 1.7% ketimbang 1.6% pada suku keempat 2023. Bagi empat bulan pertama 2024, jumlah dagangan Malaysia berkembang 8.3% kepada RM912.27 bilion.

Kita juga kekal mencatat lebihan dagangan berjumlah RM41.83 bilion. Dan yang lebih membanggakan, kita telah mencapai paras FBM KLCI melepasi 1,600 mata dan nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trilion.

4. Pencapaian makroekonomi ini perlu kita akui dan raikan bersama. Kendatipun begitu, saya akur bahawa saudara-saudari masih terhimpit dengan bebanan sara hidup yang kian mengesankan. Ini realiti dan saya tidak mahu nafikan.

5. Walhasil, tumpuan utama dan pertama usai tertubuhnya Kerajaan Madani adalah untuk menangani masalah struktural, yakni masalah pokok yang melemahkan sendi dan kekuatan ekonomi negara.

6. Dua masalah struktural:Pertama: Ekonomi rakyat dan ekosistem perniagaan yang hambar; serta Kedua: Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang lemah.

II. Hapus rasuah habis-habisan

Saudara-saudari,

7. Maka, apa yang Kerajaan Madani telah lakukan?

8. Pertama, sebelum dua masalah struktural diselesaikan, isu pokok yang perlu ditangani segera ialah kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang sistemik dan bermaharajalela.

9. Semua tahu prinsip dan perjuangan saya dalam soal memerangi rasuah – kerana inilah barah utama yang melemah ekonomi negara serta menjatuhkan moral dan keyakinan rakyat.

10. Pada tahun pertama saya telahpun menoktahkan amalan rundingan terus dalam perolehan Kerajaan dan beralih ke sistem tender terbuka. Sekian lama rundingan terus yang tidak telus telah membazirkan wang rakyat dan terdedah kepada rasuah. Ini telahpun dihentikan.

11. Ada dalam kalangan rakyat yang membangkitkan, jika benar rasuah masih bermaharaja lela, mengapa tidak kerajaan segera menghukum mereka?

Kita semua harus memahami bahawa jalur hukum serta proses mahkamah itu perlu bebas dan mengambil masa. Ini hendaklah dihormati oleh semua pihak.

12. Kerajaan tidak akan masuk campur proses kehakiman dan beri ruang sepenuhnya kepada agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memperhebat usaha membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara habis-habisan. Selain itu, peranan Jabatan Audit Negara juga diperkasa supaya tatakelola dalam perkhidmatan awam dapat ditambah baik.

13. Mengapa hal rasuah ini saya ulang sebut berkali-kali? Mungkin ada yang memandang remeh bahawa ini hanya sekadar cakap politik. Tetapi akibatnya besar sekali yang mungkin tidak ramai sedari bahawa kesannya berantai dan menjalar hingga ke bawah.

Tender terbuka dalam projek Rancangan Tebatan Banjir mampu jimat wang rakyat sehingga RM2 bilion;

Sindiket penyeludupan di pintu masuk negara oleh sekelumit kecil pegawai awam berjaya ditumpaskan yang menyaksikan hasil negara tiris hingga RM2 bilion sejak 2017.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Tiris bagi membanteras penyeludupan diesel yang selama ini amat merugikan.

Kartel minyak masak, ayam dan telur dipecahkan supaya harga dan bekalan terkawal dalam meredakan kos sara hidup.

14. Maka apakah angka-angka ini tidak bermakna buat kita?

Sekiranya dikumpul, ia dapat dimanfaatkan untuk menambah bantuan rakyat dan meningkatkan mutu prasarana rakyat.

III. Mengatur hala tuju ekonomi yang jelas

Saudara-saudari,

15. Kedua, dalam menggerakkan agenda pembaharuan, negara memerlukan hala tuju ekonomi yang jelas.

Tahun lalu, Kerajaan telah meluncurkan Ekonomi MadaniI: Memperkasa Rakyat sebagai landasan utama memperbetul masalah struktural ekonomi negara. 16. Ekonomi Madani yang ingin diperkenalkan ialah perencanaan baharu melibatkan pelbagai sektor dan aspek ekonomi. Perancangan

ini meliputi ikhtiar meningkatkan pemacuan ekonomi, menggalakkan pelaburan dan memperkukuh industri tempatan supaya lebih berdaya cipta, berdaya saing serta mampu dilonjakkan ke pasaran global. 17. Selanjutnya, ia disambut oleh peluncuran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 selain ikhtiar Belanjawan Madani. Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) turut akan meluncurkan Pelan Strategik Semikonduktor bagi merancak ekosistem semikonduktur.

18. Semua dasar ini bermatlamat menggapai cita-cita Ekonomi Madani iaitu menaikkan lantai dan siling atau mengangkat darjat hidup rakyat dan menstruktur semula ekonomi bagi melonjak Malaysia sebagai jaguh di rantau Asia.

IV. Merungkai masalah ekonomi rakyat dan ekosistem perniagaan

19. Halatuju sudah ditetapkan, dasar sudah pun diluncurkan. Maka yang ketiga sekarang adalah untuk menggerakkan semua usaha yang dirangka. Matlamat akhirnya adalah untuk: Mendukung ekonomi rakyat dan meningkatkan kemahiran bakat tempatan supaya gaji yang diraih lebih munasabah;

Menambahbaik ekosistem perniagaan bagi menyokong industri baharu berpertumbuhan dan bernilai tinggi supaya pelaburan dapat ditingkatkan ke dalam ekonomi tempatan. 20. Bagi meningkatkan gaji rakyat ke tahap lebih bermakna: Industri tempatan diberi nilai tambah khususnya sektor semikonduktor yang sedang mendapat tempat di mata dunia.

Pelan induk perindustrian menyasarkan pendapatan bulanan pekerja industri pembuatan meningkat minimum RM4,500 menjelang 2030.

Bagi melahirkan lebih ramai bakat tempatan berkemahiran di kalangan anak muda, kita juga telah laksanakan kerjasama dengan gergasi industri dalam menstruktur semula pendidikan TVET negara. Agenda Kecerdasan Buatan (AI) juga diberi keutamaan melalui penubuhan fakulti AI pertama negara.

Khazanah Nasional Berhad juga telah menggerakkan usaha melahirkan usahawan baharu sektor berpertumbuhan tinggi dengan dana RM1 bilion. Ikhtiar paling utama ialah, hanya di bawah Kerajaan Madani yang serius mahu menambah pendapatan rakyat:

oSatu: Hal awal yang saya perjuangkan adalah untuk menoktahkan kemiskinan tegar. Kendatipun diperlekeh, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) tetap dilaksana bagi menambah pendapatan golongan miskin tegar. Kini, kita dapat lihat kejayaan pelaksanaan IPR.

o Dua: Gaji dan elaun tetap penjawat awam akan ditambah baik setelah belasan tahun tidak disemak. Seperti yang saya umumkan pada 1 Mei lalu, penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 15 peratus mulai 1 Disember depan.

o Tiga: Kita serius untuk menggubal Dasar Gaji Progresif. Kemelut gaji rendah khususnya menyangkut golongan muda dan para graduan akan dinoktahkan tidak lama lagi.

Saudara-saudari,

21. Seperti saya nyatakan sebelum ini, kita telah terperangkap dalam kitaran ekonomi yang berbahaya; kos tinggi, gaji rendah, keuntungan rendah dan kurang nilai daya saing.

22. Maka, tugas sekarang adalah untuk menambah baik ekosistem perniagaan. Bidang high growth high value (HGHV) atau berpertumbuhan dan bernilai tinggi diberi keutamaan dalam meraih lebih banyak pelaburan masuk ke dalam ekonomi negara.

Ekosistem perniagaan sedang diperlebih luas dan ditambah baik antaranya bagi kluster elektrikal dan elektronik (E&E) di wilayah utara dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura di Johor dan di Kerian, Perak. Sidang Kemuncak KL20 pada bulan lalu dijadikan medan strategik menarik pelaburan berkualiti.

Pelan Tindakan KL20 dijangka menjana penilaian tambahan syarikat pemula niaga mencecah RM400 bilion menjelang 2030.

Dasar peralihan tenaga akan berusaha merancakkan pembukaan industri tenaga boleh baharu, lebih-lebih lagi sebagai persediaan Malaysia ke arah penggunaan tenaga bersih.

Tumpuan kini adalah untuk membangunkan ekosistem perundangan bagi memudah cara pelaksanaan dasar tersebut.

23. Alhamdulillah, untuk tahun lalu, Malaysia merekod pencapaian tertinggi dalam sejarah dengan pelaburan langsung yang diluluskan sebanyak RM329.5 bilion atau 23% lebih tinggi ketimbang tahun 2022.

24. Bagi tahun 2024, setakat Mac sahaja, kita berjaya menarik potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion. Ini termasuklah dari Australia (RM24.5 bilion) serta Jerman dan Perancis (RM46 bilion). Insya-ALLAH, rekod tahun ini akan dilonjakkan lagi.

25. Ada yang memperlekeh nilai pelaburan ini sekadar omong kosong atau tiada pulangan kepada rakyat. Itu tidak benar. Kerajaan Madani sedaya upaya memastikan segala pelaburan direalisasikan pada masa ditetapkan. Umpamanya, kemajuan bagi pelaburan diluluskan sebelum ini berada pada landasan yang betul: 75.5% projek perkilangan yang diluluskan dari tahun 2021 hingga 2023 telah siap atau sedang dalam pelaksanaan. Nilai kerja pembinaan peringkat awal juga adalah tinggi iaitu RM31.5 bilion (2023) ketimbang RM26.3 bilion (2022).

26. Hasil pelaburan ini melambangkan keyakinan baharu pelabur kepada pengemudian ekonomi negara saat ini berpandukan Ekonomi Madani.

V. Merungkai kelemahan struktur fiskal negara

Saudara-saudari,

27. Kedudukan kewangan negara perlu diperkukuh bagi membolehkan kerajaan berbelanja untuk kebajikan rakyat dan meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

28. Masalah struktural kedua yang perlu ditangani yakni menambah baik pengurusan wang awam. Apakah masalah fiskal yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan Madani?

Satu: Asas hasil yang kecil. Setakat 2023, nisbah hasil cukai kepada KDNK adalah pada paras 12.6%.

Ini jauh lebih rendah ketimbang purata negara Asia Pasifik sebanyak 19% dan negara berpendapatan tinggi yang umumnya menjangkau 30%.

Dua: Perbelanjaan yang tidak berhemat. Subsidi pukal perlu dihentikan.

Subsidi kita antara tertinggi berbanding di dunia. Untuk apa? Sedangkan, subsidi pukal lebih menguntungkan golongan kaya kerana penggunaan atau perbelanjaan mereka bagi suatu barang dan perkhidmatan lebih besar. 3.5 juta warga asing juga mendapat faedah daripada subsidi pukal.

Tiga: Bebanan hutang. Kekangan hasil dan perbelanjaan tidak berhemat menyebabkan kerajaan menanggung bebanan hutang.

Paras hutang kini mencecah RM1.2 trilion atau 64.3% KDNK. Jika termasuk liabiliti lain, ia mencecah RM1.5 trilion atau lebih 80% KDNK. Timbunan hutang hanya membazir wang rakyat kerana banyak dihabiskan untuk bayar faedah hutang. Tahun ini, setiap seringgit pungutan cukai, 16 sen hanya untuk membayar faedah hutang; belum lagi bicara soal pokok atau prinsipal hutang.

29. Maka, dalam menambah baik pengurusan fiskal negara, apa yang sedang Kerajaan Madani laksanakan sekarang?

30. Perkara awal yang kita laksanakan bagi membuktikan komitmen kita terhadap reformasi fiskal adalah penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA). Sasaran FRA adalah untuk menurunkan paras hutang untuk tidak melebihi 60 peratus KDNK dan defisit fiskal 3 peratus dalam jangka masa sederhana.

31. Kerajaan juga mula memperluas asas hasil melalui reformasi percukaian. Cukai diperkenalkan tidak membebankan dan bersifat progresif, yakni dikenakan mengikut pendapatan supaya rakyat susah tidak dikenakan cukai yang sama dengan golongan kaya.

32. Cukai Barang Bernilai Rendah, Cukai Keuntungan Modal Bagi Saham Tidak Tersenarai dan penambahbaikan kepada Cukai Perkhidmatan telah diperkenalkan. Kita mengunjurkan peningkatan hasil cukai negara sebanyak RM4.5 bilion.

33. Dalam soal subsidi, Kerajaan perlu mengambil pendekatan berani untuk menyasarkan semula subsidi. Tindakan kita dalam menyasarkan semula subsidi memberi penjimatan kepada wang rakyat yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain.

34. Umpamanya, Kerajaan telah menjana penjimatan RM4 bilion hasil penyasaran subsidi mengikut penggunaan elektrik. Tahun

ini, subsidi elektrik ditambah baik dengan 85% rakyat tidak terjejas dan kekal menikmati subsidi sementara baki 15% yang menggunakan elektrik melebihi 600 kilowat-jam tidak lagi layak menerima subsidi. 35. Harga ayam telah diapungkan dan tidak lagi disubsidi. Kerajaan dapat jimat RM100 juta sebulan. Kesannya apa? Iaitu bukan sahaja bekalan ayam stabil, tetapi harga ayam jauh lebih rendah ketimbang sebelum. Penyasaran Subsidi Bahan Api Diesel

36. Pada hari ini, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api. Penyasaran subsidi akan mula dilaksanakan ke atas bahan api diesel. Sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak.

37. Bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, Kerajaan akan terus menyediakan subsidi diesel kepada para peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). Ini termasuk pengusaha bas dan teksi. Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu.

38. Kebajikan rakyat akan terus terpelihara bagi menangani kos sara hidup. Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil. Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T20.

39. Dengan usaha penyasaran subsidi diesel ini, jumlah penjimatan kepada Kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun.

40. Bukti anjakan pengurusan kewangan negara ini kita dapat dilihat dengan jelas. Sebahagian penjimatan itu dapat digunakan dengan menambah baik bantuan kepada rakyat. Antaranya: Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditambah baik dengan meningkatkan peruntukan kepada RM700 juta, yakni lebih lima kali ganda ketimbang RM130 juta tahun lalu. Kita juga meluaskan bilangan penerima kepada 700,000 dan menambah nilai bantuan kepada RM1,200 ketimbang RM600. Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kita naikkan sebanyak RM2 bilion atau 25% iaitu daripada RM8 bilion (2023) kepada RM10 bilion (2024) yang memanfaatkan sekitar 9 juta penerima bersamaan 60% penduduk dewasa Malaysia.

Bantuan murid sekolah juga telah ditambah baik. Bermula tahun 2023, kita memperluas Bantuan Awal Persekolahan kepada semua murid daripada darjah 1 hingga tingkatan 5 dengan peruntukan hampir RM800 juta.

Hanya di bawah Kerajaan Madani, Insentif Pengeluaran Getah telah dinaikkan bukan sekali, tetapi dua kali iaitu daripada RM2.50 sekilogram pada tahun 2022 kepada RM2.70 sekilogram (2023) dan RM3.00 ringgit sekilogram pada tahun ini. Kerajaan Madani juga mengambil langkah meningkatkan pendapatan pesawah. Kadar Skim Subsidi Harga Padi telah ditingkatkan daripada RM360 (2022) kepada RM500 per metrik tan pada tahun 2023.

VI. Penutup

41. Kerajaan Madani sedaya upaya dan berani membuat perubahan. Hanya dengan tekad yang jelas mampu mengeluarkan kita daripada kancah perangkap pendapatan menengah dan seterusnya mencapai tujuh penanda aras Ekonomi Madani.

42. Saya faham proses ke arah perubahan ampuh bukanlah suatu yang mudah. Malah, kita dituntut untuk keluar dari zon selesa agar perubahan dapat berlaku; dan kemajuan ekonomi yang dicapai ini tidak bermakna jika kita masih lagi dibelenggu pemikiran yang sempit dan tidak ada kemahuan atau ikhtiar untuk berubah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!