Pencapaian ekonomi negara suku pertama 2024 amat memberangsangkan - PM

Orang ramai menyaksikan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui televisyen ketika tinjauan di sebuah restoran sekitar ibu kota malam ini. Foto Bernama
Orang ramai menyaksikan Perutusan Negara oleh Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui televisyen ketika tinjauan di sebuah restoran sekitar ibu kota malam ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mencatatkan pencapaian ekonomi yang amat memberangsangkan bagi suku pertama 2024 pada kadar 4.2 peratus mengatasi anggaran kebanyakan pihak yang mengunjurkan pada 3.9 peratus, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, prestasi itu direkodkan dalam suasana ekonomi global yang terus tidak menentu.

"Dalam suasana ekonomi dunia yang terus dalam ketidaktentuan, hampir kesemua sektor telah melonjak dan memangkinkan pertumbuhan buat suku pertama tahun 2024.

"Pencapaian makroekonomi ini harus kita raikan bersama,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan malam ini.

Anwar yang memetik prestasi ekonomi negara berkata, pasaran buruh berkembang 2.1 peratus menjadikan jumlah tenaga kerja meningkat kepada 16.4 juta.

"Kadar inflasi kekal rendah pada 1.7 peratus berbanding 1.6 peratus pada suku keempat 2023 dan bagi empat bulan pertama 2024, jumlah dagangan Malaysia berkembang 8.3 peratus kepada RM912.27 bilion," kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pada masa sama kerajaan tidak menafikan bebanan sara hidup yang dihadapi rakyat dan perkara itu menjadi tumpuan utama Kerajaan Madani.

Antara strategi yang dilaksanakan Kerajaan Madani adalah perencanaan baharu melibatkan pelbagai sektor dan aspek ekonomi.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 selain ikhtiar Belanjawan Madani," kata beliau.

Mengenai usaha meningkatkan gaji rakyat, Anwar berkata, pelan induk perindustrian menyasarkan pendapatan bulanan pekerja industri pembuatan meningkat kepada minimum RM4,500 menjelang 2030.

Beliau berkata, Khazanah Nasional Bhd juga telah menggerakkan usaha melahirkan usahawan baharu sektor berpertumbuhan tinggi dengan dana RM1 bilion.

"Semua dasar ini bermatlamat menggapai cita-cita Ekonomi Madani iaitu menaikkan lantai dan siling atau mengangkat darjat hidup rakyat dan menstrukturkan semula ekonomi bagi melonjakkan Malaysia sebagai jaguh di rantau Asia," kata Anwar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!