Diperdaya terima komisen menang loteri, suri rumah serah barang kemas

Superintenden Ashari Abu Samah
Superintenden Ashari Abu Samah
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Gara- gara percaya akan mendapat komisen wang loteri, seorang suri rumah kerugian RM20,000 apabila menyerahkan barang kemas dipakainya selepas ditipu empat individu termasuk seorang wanita warga asing pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 10 pagi, mangsa berusia 58 tahun mendakwa didatangi suspek ketika berada di sebuah pasar raya di Masjid Tanah untuk membeli barang keperluan harian.

Menurutnya, suspek yang dianggarkan berusia 40-an hingga 50-an dan disyaki warga Indonesia kemudian mengatakan kononnya mereka telah memenangi loteri RM500,000, namun memerlukan pertolongan wanita itu kerana mereka tidak mempunyai kad pengenalan untuk menebus kemenangan tersebut.

Katanya, mangsa dijanjikan akan mendapatkan komisyen RM50,000 sekiranya membantu mereka menunaikan cek tersebut sebelum dibawa menaiki sebuah kenderaan menuju ke sebuah kedai nombor ekor bagi urusan mengeluarkan wang kemenangan itu.

"Namun semasa dalam perjalanan suspek telah minta mangsa cagar barang kemas yang dipakainya dengan alasan mangsa tidak menipu mereka setelah menuntut wang kenangan tersebut.

"Malangnya semasa mangsa ingin memasuki premis tersebut kereta yang dinaiki kesemua suspek telah beredar.

"Mangsa merasakan dirinya telah diperdaya lalu membuat laporan polis pada hari sama lebih kurang jam 2 petang di Balai Polis Kuala Sungai Baru," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Tambahnya, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak mengenakan barang kemas yang keterlaluan selain tidak bergerak seorang diri tanpa ditemani ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana sindiket seperti ini menyasarkan warga emas yang berseorangan, tidak ditemani dan memakai barang kemas keterlaluan.

"Setakat ini juga tiada kertas siasatan dibuka memandangkan mangsa tidak dapat mengecam suspek," ujarnya lagi.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kejadian tiga individu didakwa memukau seorang wanita ketika sedang membeli- belah di sebuah pasar raya di Masjid Tanah.