'Tewas undi belah bahagi tak jejaskan MoU kerajaan-PH'

Fahmi
Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan kerajaan untuk mengusulkan lanjutan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat melalui undi belah bahagi tidak memberi kesan kepada Memorandum Persefaham (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, ini kerana ia tidak termasuk dalam perkara yang dirundingkan dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kedua-dua pihak.

“Perkara 3.3(b) MoU terpakai. Usul ini tidak dibincang, dirunding atau dipersetujui melalui mekanisme MoU, kekalahan usul ini juga tidak diertikan sebagai hilang percaya kepada kerajaan,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Rabu.

Sidang Dewan Rakyat pada Rabu melakar sejarah buat blok pembangkang apabila buat pertama kalinya menang dalam penentuan undi belah bahagi.

Melalui undi yang dijalankan hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.

Dalam hal ini, subseksyen yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret tidak lagi akan berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.

Usul dikemukakan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin telah dibahaskan oleh 19 ahli Parlimen yang mengambil bahagian.