'Kenapa tak mansuh sistem kuota bumiputera?' Ini jawapan PM Anwar

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Penggantian sistem kuota dengan sistem meritokrasi sepenuhnya hanya akan menyebabkan ketidakadilan kepada majoriti rakyat di negara ini, khususnya bumiputera, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika menjawab soalan pelajar dalam sesi Temu Anwar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, hari ini, Perdana Menteri berkata, sistem kuota tidak menafikan peluang untuk bangsa lain kerana rayuan masih boleh dilakukan jika mereka benar-benar layak.

“Janganlah nak batalkan sistem kuota kerana ia akan menimbulkan turmoil (kekacauan) dalam negara ini. Kalau ada anak India atau anak Cina yang berasakan mereka tidak dilayan dengan adil (kerana sistem kuota bumiputera), boleh buat rayuan dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memberi pertimbangan.

"... anda bercakap tentang soal meritokrasi, tetapi anda tidak tahu ada sekolah yang cukup daif... tempat orang-orang miskin belajar. Anda tak faham ada orang nak makan pun tak cukup, nak pergi sekolah... tetapi anda nak suruh (mereka) bersaing (melalui meritokrasi).

“Saya datang dari MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar), saya tak boleh mengadu sebab sekolah ini antara yang terbaik. Tapi sebagai Perdana Menteri saya bukan nak lindungi MCKK, saya nak lindungi semua.

"... dan kita ubah. Saya kata kalau sekolah itu daif, saya tak peduli... KPM (Kementerian Pendidikan) tolong semua. Sebab itu sekarang memang dah ada perubahan," katanya.

Dalam sesi tersebut, seorang pelajar meluahkan rasa tidak puas hati kerana sistem kuota didakwa menyebabkan ahli keluarganya yang cemerlang dalam pelajaran tidak mendapat tempat dalam institusi pendidikan awam biarpun melalui pengambilan kedua.

Pelajar tersebut mendakwa, terdapat pelajar yang kurang berkelayakan, tetapi lebih mudah diterima dalam institusi tersebut semata-mata kerana mereka adalah bumiputera.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau boleh mengambil keputusan yang popular semata-mata untuk memuaskan hati segelintir pihak, namun ia akan memberi kesan buruk.

“Kita perlu lakukan (perubahan) secara berperingkat... tidak boleh buat secara gopoh. Anak-anak India, anak-anak Cina semua anak saya. You force us to change now to satisfy the demand of the extremist, we will be wiped out in the election. And you will have Pas and Bersatu to govern this country,” katanya lagi.

Menjelaskan lanjut, Perdana Menteri berkata, mereka yang mempersoalkan tentang sistem kuota harus belajar mengenai sejarah negara ini, dan memahami mengapa ia penting bagi menjamin keadilan untuk kaum bumiputera, tanpa meminggirkan nasib kaum lain.

Anwar berkata, beliau dan rakan-rakan Kabinet akan sentiasa mencari jalan yang terbaik untuk melakukan perubahan dalam sistem pendidikan negara, bagi menjamin keadilan untuk semua pihak. - Awani