Pengharaman telur penyu tidak jejaskan pendapatan pemajak

Pengharaman jualan semua jenis telur penyu akan dikuatkuasakan pada 1 Jun ini.
Pengharaman jualan semua jenis telur penyu akan dikuatkuasakan pada 1 Jun ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengharaman sepenuhnya penjualan semua jenis telur penyu menerusi Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Jun depan tidak akan menjejaskan pendapatan kumpulan pemajak.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Terengganu akan membeli telur daripada pemajak bagi tujuan penetasan dan pemuliharaan penyu.

Menurutnya selain kerajaan terdapat juga badan bukan kerajaan (NGO) yang akan membeli telur penyu tersebut bagi tujuan penetasan.

"Pemajak tetap tidak hilang pendapatan cuma yang membezakan ialah telur penyu yang dikutip itu tidak dibenarkan lagi dijual di pasaran terbuka dan kerajaan melalui Jabatan Perikanan akan beli telur penyu tersebut.

"Kerajaan juga akan menambah peruntukan kepada RM900,000 setahun bagi tujuan pembelian telur penyu daripada pemajak berbanding peruntukan kira-kira RM600,000 sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Selasa.

Berdasarkan rekod terdapat 21 pemajak berdaftar di bawah Jabatan Perikanan Negeri yang bergiat aktif di 21 lokasi pajakan telur penyu pada 2021.

Dalam perkembangan sama, Azman berkata, pengharaman jualan telur penyu tidak menjejaskan pendapatan peniaga kerana ia merupakan pendapatan sampingan.

"Kerajaan telah membuat sesi libat urus secara tidak langsung bersama mereka yang terlibat dalam perniagaan telur penyu dan telah mengenal pasti ia tidak menjejaskan pendapatan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan telur penyu dipasarkan melalui pasaran gelap.

Katanya, tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang didapati terlibat dalam aktiviti tersebut.

"Mana-mana peraturan pun akan ada pelanggaran, jadi bila berlaku pelanggaran kita ada langkah-langkah tertentu untuk menangani isu-isu ini.

"Mereka yang terlibat dalam pasaran gelap tetap tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya.

Pada 15 November tahun lalu, kerajaan negeri meluluskan Pindaan Enakmen Penyu 1951 yang sekali gus mengharamkan penjualan telur semua spesies penyu termasuk tuntung laut.

Mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan boleh didenda antara RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.