Impian Tze Yong, Jun Hao tidak kesampaian

Jun Hao tewas straight kepada pemain India pada aksi suku akhir Terbuka Thailand di Bangkok pada Jumaat. Foto Badminton Photo
Jun Hao tewas straight kepada pemain India pada aksi suku akhir Terbuka Thailand di Bangkok pada Jumaat. Foto Badminton Photo
A
A
A

IMPIAN dua wakil negara, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao untuk mara ke separuh akhir kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2023 tidak kesampaian setelah tewas kepada lawan masing-masing dalam aksi suku akhir di Bangkok pada Jumaat.

Tze Yong terpaksa akur tewas di tangan wakil Hong Kong, Lee Cheuk Yiu sekali gus kempunan untuk berada dalam kelompok empat terbaik Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 buat kali kedua sejak Januari 2022.

Dalam aksi di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok itu, Tze Yong mudah ditundukkan pemain ke-17 dunia itu apabila tewas straight set 19-21, 21-23 dalam aksi selama 53 minit.

Keputusan itu bermakna Tze Yong mengalami kekalahan kedua di tangan Cheuk Yiu tahun ini.

Kali terakhir Tze Yong mara ke separuh akhir bagi saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 adalah pada Terbuka India 2022 yang menyaksikan pemain itu tewas kepada Lakhsya Sen dari India.

Sementara itu, nasib serupa turut dialami Jun Hao yang tewas straight set 19-21, 11-21 kepada Lakhsya yang menghuni ranking ke-23 dunia dalam tempoh 41 minit permainan.

Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut dialami Jun Hao ketika bertemu Lakhsya di pentas antarabangsa.

Kali terakhir mereka berentap adalah dalam Cabaran Antarabangsa Bangladesh 2019 yang menyaksikan Lakhsya turut meraih kemenangan straight set 22-20 dan 21-18.