Tulisan Jawi: PBT perlu dapatkan persetujuan komuniti

Antara papan tanda tulisan Jawi yang dipasang di kawasan pentadbiran MPKK.
Antara papan tanda tulisan Jawi yang dipasang di kawasan pentadbiran MPKK.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di kawasan masing-masing.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, perkara itu boleh digerakkan sekiranya PBT terbabit mendapat persetujuan daripada komuniti terlibat terutama dalam kalangan bukan Islam.

"Di peringkat kerajaan negeri kita tidak ada (ketetapan tulisan Jawi) kerana itu adalah usaha-usaha yang digerakkan PBT mengikut kesesuaian kawasan.

"Kerajaan negeri juga sebenarnya tidak ada halangan berhubung perkara itu sekiranya pihak berkuasa tempatan telah mendapat sokongan daripada penduduk," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) dan Hari Seniman Negara peringkat negeri di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Perak di sini pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan kawasan sekitar Kuala Kangsar termasuk bangunan restoran terkemuka, papan tanda dan nama jalan telah dihiasi tulisan Jawi.

Nolee Ashilin (dua dari kanan) meninjau pameran kraftangan sempena perasmian Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) dan Hari Seniman Negara peringkat negeri di JKKN) Perak di sini pada Selasa.
Nolee Ashilin (dua dari kanan) meninjau pameran kraftangan sempena perasmian Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) dan Hari Seniman Negara peringkat negeri di JKKN) Perak di sini pada Selasa.

Langkah itu digerakkan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) sebagai langkah membudayakan semula tulisan tradisi itu.

Mengulas lanjut, Nolee Ashilin berkata, langkah yang diambil MPKK itu telah dibawa ke mesyuarat penuh dan dipersetujui oleh wakil-wakil ahli majlis, malah libat urus juga telah dibuat dengan peniaga-peniaga bukan Melayu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setakat ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang aduan berkaitan bantahan berhubung perkara itu pada papan tanda sedia ada.

"Mereka memikirkan ini adalah bandar pelancongan yang ditakrifkan sebagai Bandar Diraja.

"Jadi mereka perlu kekalkan elemen-elemen yang disebut boleh menonjolkan warisan dan tradisi melalui seni Jawi. Saya kira usaha ini antara tarikan untuk daerah Kuala Kangsar," katanya.

Selain MPKK, Majlis Daerah Batu Gajah juga menggalakkan tulisan Jawi selepas mendapat kelulusan mesyuarat bulanan dengan tujuan mempertingkatkan penggunaan tulisan Jawi pada papan iklan dan tanda di kawasan pentadbiran itu.