Lebih 4,000 mangsa banjir di Sabah berlindung di 32 PPS

KOTA KINABALU - Sabah menyaksikan peningkatan ketara jumlah mangsa banjir apabila sebanyak 4,348 orang daripada 1,774 keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini berbanding 3,427 orang daripada 1,449 keluarga malam tadi.
Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, kesemua mangsa ialah penduduk dari 70 kampung di tiga daerah yang terjejas akibat banjir, iaitu Pitas, Paitan dan Tawau.
"Mereka ditempatkan di 32 PPS yang dibuka di ketiga-tiga daerah berkenaan," menurut kenyataan itu.
Pitas masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,618 orang daripada 1,276 keluarga berbanding 2,171 orang daripada 1,078 keluarga setakat semalam.
Paitan turut menyaksikan pertambahan dalam jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS iaitu 1,485 orang daripada 443 keluarga manakala Tawau kekal dengan 245 orang daripada 55 keluarga.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa kawasan di pedalaman Sabah mengalami ribut petir pada sebelah pagi, petang dan malam ini. - Bernama
Ringkasan AI
- Sabah menyaksikan peningkatan ketara jumlah mangsa banjir dengan 4,348 orang berlindung di PPS
- Jumlah mangsa meningkat dari 3,427 orang malam tadi
- Mangsa banjir adalah penduduk dari 70 kampung di Pitas, Paitan dan Tawau
- Sebanyak 32 PPS dibuka di ketiga-tiga daerah tersebut
- Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut petir di beberapa kawasan pedalaman Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
