Janganlah kerajaan Perak tumbang lagi

Saarani dilihat mendapat sokongan penuh untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri Perak. - Foto fail Bernama
Saarani dilihat mendapat sokongan penuh untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri Perak. - Foto fail Bernama
A
A
A

SETIAP kali menjelang Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, ada sahaja desas-desus pertukaran kerajaan timbul seolah-olah proses itu terlalu mudah.

Entah apa yang seronoknya bertukar kerajaan sehinggakan ada pihak yang begitu teruja menanti pentadbiran kerajaan negeri tumbang menjelang persidangan dijadualkan berlangsung 22 Mei ini.

Jika disingkap sejarahnya memang kerajaan negeri Perak pernah bertukar dalam penggal yang sama tanpa melalui pilihan raya umum (PRU).

Sejak tahun 2008, sekurang-kurangnya empat pertukaran kerajaan berlaku dan paling banyak ketika penggal ke-14 sebanyak tiga kali pentadbiran bertukar dengan tiga Menteri Besar dilantik.

Malah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pernah menzahirkan dukacita terhadap keadaan itu dengan menyifatkan lantikan tiga Menteri Besar sebagai cerminan kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli politik.

Di sebalik titah baginda itu, masih ada juga yang mahu melihat kerajaan tumbang di separuh penggal dengan cuba bermain sentimen di media kononnya pembangkang sudah cukup nombor.

Untuk menubuhkan kerajaan negeri di Perak, hanya memerlukan sokongan 30 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk memilih salah seorang dalam kalangan mereka menjadi Menteri Besar.

Situasi ketika ini menyaksikan gabungan ADUN kerajaan melibatkan 33 wakil rakyat terdiri daripada 24 ADUN Pakatan Harapan (PH) dan selebihnya daripada Barisan Nasional (BN).

Blok pembangkang pula, Perikatan Nasional (PN) mempunyai 26 ADUN dengan Pas paling ramai iaitu sebanyak 17 orang manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seramai sembilan orang. Jadi pembangkang hanya memerlukan sokongan empat ADUN kerajaan jika mahu membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Namun perkara itu tidak semudah yang difikirkan setelah DUN Perak meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkaitan larangan lompat parti.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria sudah pun mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu tidak terlibat dengan sebarang usaha ke arah itu namun tidak menolak kemungkinan perkara tersebut boleh berlaku.

Bagaimanapun berdasarkan penafian meyakinkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN sebelum ini, mungkin tidak ada ADUN kerajaan yang mahu 'menyeberang' kerana memikirkan hukuman bakal diterima.

Jika dilihat kesepaduan di antara exco-exco Kerajaan Perpaduan di Perak ini amat baik malah Majlis Mesyuarat Exco setiap minggu berjalan tanpa sebarang masalah dan tidak menunjukkan sebarang perbuatan sabotaj biarpun gabungan PH-BN itu baharu diwujudkan.

Berbanding ketika Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi Menteri Besar sebelum ini, wujudnya cubaan terang-terangan untuk menggulingkannya tetapi kali ini semua memberikan sokongan penuh kepada Saarani malahan suara kritikan pembangkang juga hampir tidak kedengaran.

Mungkin juga disebabkan pembahagian peruntukan sebanyak RM300,000 setahun kepada semua ADUN termasuk pembangkang selain tiada sekatan keterlaluan untuk parti bukan kerajaan.

Sungguh pun BN mengetuai kerajaan negeri Perak dalam jumlah kerusi minoriti, tiada desakan tertentu dibuat oleh rakan-rakan dari parti kerajaan kerana mereka merasakan bahana bakal menimpa jika keterlaluan dalam membuat permintaan termasuklah bakal kehilangan kerajaan.

Belajar daripada sejarah sebelum ini, politik ugut mengugut tidak lagi relevan sebaliknya cara diplomasi lebih berkesan memenuhi sebarang permintaan mahupun tuntutan.

Cuma jika ada wakil rakyat yang masih mahu mengganggu-gugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri, pastinya tindakan itu akan menjadi cemuhan sukar dimaafkan kerana rakyat secara keseluruhannya sudah penat dengan demokrasi seperti itu.

Sekiranya berlaku juga pengkhianatan itu, inilah masanya untuk menguji sejauh mana pindaan enakmen berkaitan lompat parti yang diluluskan pada Disember tahun lalu itu berkesan dalam menangani ketidakstabilan politik di negara ini.

Apakah ada kelompongan yang boleh diambil kesempatan oleh politikus tidak amanah untuk memperoleh kesenangan peribadi di sebalik kesungguhan rakyat untuk mengundi mereka pada PRU lalu bagi menjadikan pentadbiran negara ke arah lebih baik.

* Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Perak