JAHEAIK kesan ‘lelaki duyung’ menari di gerai jual air balang untuk bantu siasatan

KOTA BHARU – Seorang lelaki berpakaian menyerupai ikan duyung dirakam berjoget di hadapan sebuah gerai air balang dipercayai di Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.
Aksi lelaki berkostum berwarna terang itu tular menerusi video berdurasi 26 saat di media sosial yang memaparkan dirinya menari dipercayai bagi tujuan menarik perhatian pelanggan dan melariskan jualan minuman.
Aksi tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen dengan sebahagian menyifatkannya sebagai keterlaluan dan tidak sensitif terhadap suasana Ramadan, selain dianggap tidak menghormati norma masyarakat setempat.
Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) ketika dihubungi berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan sedang mengesan lelaki terbabit bagi membantu siasatan.
“Pihak kami sedang mengenal pasti individu berkenaan serta mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.
“Sebarang pelanggaran undang-undang syariah atau perbuatan tidak senonoh di tempat awam akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan keresahan awam, apatah lagi dalam bulan Ramadan yang menuntut umat Islam menjaga tingkah laku dan sensitiviti masyarakat.
Pada masa sama, ramai mendesak supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen perniagaan gerai itu selain mengenakan tindakan tegas terhadap individu berkenaan.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki berpakaian menyerupai ikan duyung berjoget di Pengkalan Chepa memaparkan dirinya menari untuk menarik pelanggan
- Aksi tersebut menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang menyifatkannya sebagai keterlaluan dalam bulan Ramadan
- JAHEAIK sedang mengesan lelaki tersebut untuk membantu siasatan
- Pelanggaran undang-undang syariah atau perbuatan tidak senonoh di tempat awam akan diambil tindakan sewajarnya oleh JAHEAIK
- Masyarakat dinasihatkan agar tidak melakukan tindakan yang boleh mencetuskan keresahan awam terutama dalam bulan Ramadan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


