Kejayaan perlu dicipta, bukan datang secara kebetulan

Hussamuddin
Hussamuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kejayaan dalam hidup tidak datang secara kebetulan, sebaliknya ia perlu dicipta bermula daripada awal, kata Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata, Islam adalah panduan hidup untuk umatnya mempersiapkan diri bagi kehidupan di dunia dan di akhirat.

“Sebab itu kita kena tukar visi kepada lebih jauh, maknanya sesiapa sahaja yang terlibat dalam apa-apa bidang pun, visinya kena mati untuk nak masuk syurga dan aplikasikan dalam setiap aktiviti yang dilakukan.

“Itu yang saya rasakan, kita kena didik perkara ini kerana kejayaan tidak datang secara kebetulan tetapi kita mesti cipta kejayaan bermula daripada awal.

“Kalau ummah berjaya, ekonomi ummah kena kuat, ia merangkumi perancangan kewangan yang kuat dan bukan sahaja boleh menjamin masa depan di dunia tetapi membawa ke syurga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Profesional Kewangan Muslim Malaysia (MFP) 2022 bertajuk ‘Semarak Integriti, Bebas Rasuah’ yang disiarkan secara dalam talian di Facebook MFP pada Sabtu.

Hussamuddin yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mempersiapkan anak-anak dengan sistem operasi kehidupan yang betul untuk pertama kalinya.

Jelasnya, sistem operasi bagi manusia melibatkan hati dan minda, maknanya jiwa mesti dipenuhi dengan nilai yang disebut dalam al-Quran, hadis dan sunnah.

Artikel Berkaitan:

“Adalah tanggungjawab ibu bapa untuk mempersiapkan anak-anak agar mereka boleh mengikut acuan sistem operasi yang baik apabila dewasa.

“Jika bekerja, mereka mesti bertanggungjawab untuk memastikan tugasan dilaksanakan mengikut sistem operasi berdasarkan al-Quran dan sunnah,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan individu agar sentiasa memikirkan sebarang tindakan dan keputusan yang diambil akan menentukan sama ada seseorang itu layak masuk ke syurga atau sebaliknya.

“Kena betulkan konsep dari awal, maknanya visi kita mati masuk syurga, untuk masuk syurga, kena berjaya. Mereka yang berjaya di dunia adalah orang yang berpegang pada nilai Islam seperti yang disebut dalam al-Quran dan sunnah sebagai bimbingan.

“Kemudian kita mesti bantu orang lain juga, maknanya harus pastikan keluarga kita hanya makan daripada sumber yang halal dan barakah.

“Contohnya, kita sebagai perunding unit amanah, kena pastikan unit amanah yang dijual benar-benar mematuhi syariah. Jangan tabur janji yang bukan-bukan semata-mata nak jual lima peratus misalnya.

“Jadi, ini yang kita perlu aplikasikan dalam hidup, pastikan barakah supaya urusan dipermudahkan. Sebab sebagai orang Islam, matlamat kita nak masuk syurga kalau boleh satu keluarga. Jadi, untuk membolehkannya, kita kena bina ini dari awal,” jelasnya.