Selangor guna kaedah kambus tanah lupus sisa pepejal pasca banjir

.

Sebanyak 60,543 tan metrik sisa pasca banjir bermula dari 21 Disember tahun lalu hingga 15 Januari lalu diterima Worldwide Holdings. - Foto Bernama
Sebanyak 60,543 tan metrik sisa pasca banjir bermula dari 21 Disember tahun lalu hingga 15 Januari lalu diterima Worldwide Holdings. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menggunakan kaedah pelupusan kambus tanah secara selamat bagi melupuskan pengumpulan sisa pepejal pasca banjir.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, sisa itu kemudian akan dilupuskan di dalam sel penerimaan sisa pepejal yang dilapisi sistem liner dan kemudian ia diratakan serta dimampatkan sebelum ditutup dengan selamat.

Menurutnya, semua sisa pasca banjir yang diterima oleh pihak Worldwide Holdings Berhad akan diasingkan terutama sisa elektronik (e-waste) untuk dihantar ke pusat pelupusan yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

"Statistik menunjukkan sebanyak 60,543 tan metrik bermula dari 21 Disember tahun lalu hingga 15 Januari lalu diterima Worldwide Holdings," katanya.

Sze Han
Sze Han

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Sze Han berkata, Tapak Pelupusan Sanitari Jeram merekodkan jumlah terbesar iaitu sebanyak 32,267 tan metrik sampah.

"Diikuti Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung Dua Belas (14,715), Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil (12,043), Tapak Pelupusan Sisa Lengai Kuang (849), Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sungai Tua (583) dan Tapak Pelupusan Sanitari Panchang Bedena (86).

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahunya, jumlah penghasilan sampah pasca banjir merupakan satu perkara yang di luar jangkaan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri mengambil iktibar untuk memikirkan satu kaedah pelupusan sampah yang lebih mampan dengan memanfaatkan teknologi terkini.

"Ini termasuk loji pembakaran sampah (WTE) bagi menyelesaikan kekurangan tapak pelupusan khususnya di negeri Selangor," ujarnya.