Mampukah Muda mula di Johor

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasminya dibubarkan pada 22 Januari 2022, atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ini bermakna Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan asbab daripada pembubaran tersebut.

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya mengesahkan bahawa Muda akan bertanding pada PRN Johor.

Ini bermakna spekulasi dan tanda tanya rakyat Malaysia akhirnya terjawab dan Muda sah bertanding buat julung kalinya pada PRN Johor.

Bagaimanapun, imej baik Muda tercemar sedikit demi sedikit termasuklah isu yang menjadi tular di laman sosial Twitter apabila parti Muda cawangan Kedah memuat naik satu hantaran imej mengaitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai salah satu parti yang terlibat dalam korupsi dan rasuah.

Ia telah mengundang kemarahan ramai pihak termasuk pemimpin dan juga penyokong parti berkenaan.

Walaupun hantaran tersebut telah dipadam dan pihak Muda telah memohon maaf atas perkara tersebut, namun ia masih mencetus kemarahan dan ramai menyifatkan bahawa Muda sebagai satu parti tikam belakang kerana Muda telah membuat satu rundingan dan kerjasama dengan PKR.

Hasil rundingan antara Muda dan PKR menyaksikan PKR menawarkan beberapa kerusi kepada Muda termasuk kerusi kontroversi dan sensasi, Puteri Wangsa.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini pula, timbul isu Muda dilihat seperti telah melanggar rundingan yang dibuat bersama PKR. Muda dilihat telah meletakkan calon di DUN Larkin, di mana DUN tersebut ditandingi calon dari PKR.

Adakah Muda ingin membentuk satu pakatan bersama PKR atau ingin berlawan?

Belum reda isu tikam belakang, timbul lagi satu isu lompat parti telah berlaku dalam parti Muda. Ini difahamkan bahawa terdapat salah seorang Ahli Jawatankuasa Pusat Muda merupakan bekas anggota parti politik lain, sebelum beliau menjadi ahli Muda.

Setelah Muda mengeluarkan dan mengumumkan senarai ahli jawatankuasa parti berkenaan, ramai mempersoalkan isu tersebut kerana sebelum ini Syed Saddiq pernah mengulas dan menentang isu lompat parti dalam kalangan ahli politik.

Hal ini juga telah menyebabkan ramai yang berfikiran bahawa Muda adalah satu parti yang tidak mempunyai pendirian dan hanya mementingkan diri sendiri.

Sedikit demi sedikit kontroversi melanda Muda menyebabkan rakyat semakin rancak menggali dan mencari kesalahan Muda, sedikit sebanyak telah menghakis kepercayaan rakyat terhadap parti tersebut.

Belum lagi bermulanya PRN Johor, begitu banyak isu dan permasalahan berkaitan parti Muda. Ramai juga beranggapan bahawa Muda selayaknya menjadi sukarelawan berbanding parti politik kerana Muda melakukan tugas dengan lebih cemerlang sebagai sukarelawan.

Sudah menjadi tradisi dan lumrah rakyat Malaysia untuk mengkritik dan memberi komen yang kurang senang kepada parti politik yang tidak disokong oleh mereka.

Lihat sahaja sebelum ini parti politik lain seperti Barisan Nasional (BN), PKR, DAP dan Pas pernah dan masih menjadi mangsa kritikan rakyat Malaysia terutama di media sosial.

Jadi, semua parti politik di Malaysia tidak dapat lari daripada menjadi 'mangsa'.

Muda merupakan parti yang memperjuangkan belia di Malaysia. Menurut Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, parti politik yang ditubuhkan berasaskan belia perlu jelas terhadap misi mereka untuk kekal bertahan dalam arena politik.

Oleh itu, Muda perlu kekal di landasan yang memperjuangkan belia di Malaysia agar tetap relevan pada masa kini dan pada masa akan datang.

Pada tahun ini, akhirnya Malaysia meminda umur bagi warganegara yang layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Ini menunjukkan bahawa Malaysia sudah bersedia untuk memberi pembaharuan terhadap rentak politik di Malaysia.

Muda perlu mengambil kesempatan atas pindaan tersebut bagi meraih sokongan padu terutama dalam kalangan belia.

Sudah pasti ramai yang menginginkan pembaharuan dalam pentas politik Malaysia.

Hal ini kerana rata-rata kita dapat lihat di Parlimen khususnya, kebanyakan ahli-ahli politik yang sama, duduk di kerusi yang sama sejak 10 tahun yang lalu.

Adakah dengan penubuhan Muda kita dapat melihat dan merasai pembaharuan daripada idea fikiran dan semangat golongan belia? Adakah kita juga berpeluang untuk melihat wajah-wajah baharu di Parlimen?

PRN Johor kali ini menyaksikan Muda meletakkan calon-calon yang boleh dikatakan agak berkaliber, berani dan bukan calang-calang.

Kita juga dapat lihat Muda turut meletakkan calon wanita bertanding pada PRN Johor kali ini. Jadi Muda masih jelas dengan prinsip mereka untuk turut memperjuangkan suara wanita.

Secara peribadi, penulis percaya Muda mempunyai strategi dan rancangan tersendiri untuk PRN Johor kali ini.

Muda mempunyai wawasan dan hala tuju yang boleh dikatakan agak jelas dan berprinsip. Jika Muda mampu mengatur strategi dengan baik dan teliti, tidak mustahil Muda mampu menawan hati rakyat Johor untuk PRN kali ini.

* Nur Zatul Miza sedang berkhidmat sebagai pelatih di Unit Demokrasi dan Tadbir Urus, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).