PRN Johor ditetapkan 12 Mac

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR Berkaitan PRN Johor ke-15 di sini pada Rabu.

Turut hadir Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dan Pengarah SPR Johor, Nor Nekman Jaiman.

Menurut data SPR, seramai 2,597,742 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor kali ini.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus berbanding hanya 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.

PRN Johor perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor penggal ke-14.

SPR secara rasmi menerima notis daripada Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN.