Retak menanti belah: Komunikasi kaum ujian kematangan

Kita harus jujur: komunikasi antara kaum di Malaysia masih berfungsi dan bertindak balas dengan baik. Gambar kecil: Syirfan Indra
Kita harus jujur: komunikasi antara kaum di Malaysia masih berfungsi dan bertindak balas dengan baik. Gambar kecil: Syirfan Indra
A
A
A

MALAYSIA sering memuji dirinya dan dipuji sebagai negara majmuk yang stabil dan teruji. Sebagai rakyat wajar kita bangga kerana tidak terjerumus ke dalam konflik berdarah seperti di wilayah jauh yang lain. Namun kestabilan bukan jaminan imuniti mutlak. Tiada imuniti perihal itu.

Retak sosial tidak selalu datang dengan dentuman mahupun gendang perang dan derap kaki soldadu. Retak ini kadangkala ia bermula dengan bisik perlahan yang diulang-ulang sehingga menjadi kepercayaan. Kepercayaan itulah yang kemudiannya menjadi retak yang mungkin tidak boleh diselamatkan lagi.

Isu komunikasi antara kaum hari ini menjadi fokus panas kebelakangan ini. Satu kenyataan sensitif boleh menjadi krisis nasional dalam beberapa jam. Video dipotong, tajuk diperbesar, emosi dipercepat.

Platform media digital bukan sekadar medium. Ia kini adalah instrumen pemecut. Dengan kadar penembusan internet Malaysia melebihi 96 peratus, hampir seluruh populasi di negara bertuah ini berada dalam arus maklumat yang sama. Tetapi arus itu jarang mengalir tenang.

Kita mungkin merasa selamat. Namun sejarah negara lain memberi amaran.

Di Sri Lanka, ketegangan antara majoriti Sinhala dan minoriti Tamil tidak meletus dalam sehari. Ia bermula dengan bahasa politik yang meminggirkan dasar yang dilihat tidak seimbang, dan komunikasi yang semakin dipenuhi kecurigaan. Apa yang pada awalnya retorik, akhirnya menjadi konflik bersenjata selama puluhan tahun.

Beberapa laporan menunjukkan bahawa isu spesifik seperti pembangunan tapak agama, perubahan demografik di wilayah tertentu, dan penempatan semula tanah telah mencetus ketegangan tempatan terutamanya apabila pihak tertentu merasa bahawa identiti agama atau baju budaya mereka “ditukar” atau dinafikan di kawasan tradisi mereka.

Di Rwanda, propaganda radio memainkan peranan memanaskan sentimen etnik Hutu dan Tutsi yang sedia panas dalam sejarah kolonial.

Radio Télévision Libre des Mille Collines (RTLM) memulakan peranan besar menyebarkan propaganda. Bahasa digunakan untuk melabel Tutsi sebagai “inyenzi” (lipas”). Uniknya, metafora “lipas” inilah yang memulakan perang: bukan parang.

Artikel Berkaitan:

Di India pula ia memperlihatkan bagaimana media sosial boleh mempercepat ketegangan agama. Insiden kecil di satu wilayah boleh menjadi rusuhan di wilayah jauh apabila naratif sensasi beredar tanpa kawalan. Dalam konteks ini, teknologi tidak mencipta kebencian, tetapi ia mempercepat penyebarannya.

Contoh negara lain bukan untuk menggusarkan dan menyulitkan sesiapa. Ia hanya untuk menegaskan satu hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa konflik besar selalunya bermula dengan kegagalan kecil yang dibiarkan berulang dan dibiarkan.

Malaysia tentu berbeza. Kita mempunyai sejarah kompromi politik dan jaringan sosial rentas kaum yang relatif kukuh. Di pejabat kerajaan mahupun swasta, rakyat bekerja merentas kaum tanpa drama.

Di hospital, doktor dan jururawat tidak bertanya agama apa sebelum menyelamatkan nyawa. Di universiti, kumpulan tugasan dibentuk berdasarkan kebolehan, bukan warna kulit.

Di negara ini kita boleh panggil abang, kakak, pakcik, makcik, nenek dan datuk tanpa mengira bangsanya. Ini adalah realiti harian ini jarang menjadi tajuk utama kerana ia tidak mencetus wow. Ia adalah kebiasaan yang telah menjadikan kita Malaysia.

Senjata paling tajam yang boleh melukakan kita hari ini ialah normalisasi kecurigaan. Apabila satu kes jenayah terus dikaitkan dengan identiti kaum tertentu. Satu isu agama terus dirujuk sebagai ancaman kolektif.

Betul atau salah sebuah kemalangan terus dirujuk kepada warna kulit. Kita secara perlahan-lahan membina naratif bahawa “yang lain dari kita” sentiasa berpotensi menjadi risiko.

Naratif ini mungkin tidak membawa kepada keganasan terbuka, tetapi ia menghakis kepercayaan. Perlahan tapi memberi kesan.

Tekanan ekonomi menambah beban yang sedia berat. Inflasi tahunan Malaysia pada Disember 2025 ialah sekitar ~1.6 peratus dengan indeks harga pengguna meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Secara sejarah, kadar inflasi negara sering berada dalam lingkungan ~2 peratus dalam dekad terakhir, selaras dengan trend ASEAN. Ini menunjukkan bahawa walaupun inflasi tidak tinggi secara ekstrem, tekanan harga makanan, perumahan dan perbelanjaan harian tetap dirasai oleh isi rumah terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang membawa kepada perasaan sempit dalam kos sara hidup.

Ketika semua ini terasa sulit dan menyesakkan, rakyat cenderung mencari penjelasan yang mudah, cepat dan ringkas. Penjelasan paling malas berfikir pastinya meletakkan kesalahan pada kelompok lain yang berbeza. Bahasa menjadi tajam. Media menjadi pentas.

Retak yang paling berbahaya bukanlah siri jeritan, pertelingkahan atau perdebatan di parlimen. Ia adalah bisikan sinis dalam kumpulan tertutup, mesej berantai yang diulang kongsi, jenaka dan imej janaan kecerdasan buatan yang mengukuhkan stereotaip. Sedikit demi sedikit, ia membentuk persepsi tentang siapa yang boleh dipercayai dan siapa yang perlu dicurigai.

Kita harus jujur: komunikasi antara kaum di Malaysia masih berfungsi dan bertindak balas dengan baik.

Hanya komunikasi ini semakin mudah terangsang. Ia mudah tersentuh, mudah diprovokasi, mudah diputar belitkan oleh pihak berkepentingan. Kita bercakap dan memberi komentar lebih banyak berbanding dahulu, tetapi tidak semestinya lebih memahami.

Apa yang kita hadap sekarang bukan soal satu insiden terpencil yang tumbuh di mana-mana dan melata tanpa siapa peduli. Ia adalah isu yang merebak dalam pola yang konsisten.

Lihatkah di media sosial. Bahasa yang digunakan semakin keras dalam tika empati semakin menipis. Jika kita gagal mengurus perbezaan dengan matang, perbezaan akan diurus oleh emosi.

Sebagai rakyat, kita juga perlu jujur bahawa retak itu belum menjadi jurang. Tetapi hakikatnya jurang tidak pernah muncul secara tiba-tiba. Ia terbentuk daripada retak yang kita pilih untuk abaikan.

Hanya yang sukar adalah retak itu ada di hadapan kita sekarang. Di bulan Februari 2026, ketika semua bergembira dan teruja menyambut Thaipusam, Tahun Baru Cina dan awal Ramadan.

*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah penyelidik dalam bidang media dan komunikasi, dengan kepakaran yang memfokuskan kepada kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan industri kreatif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!