'Saya enggan melutut, batal hasrat sertai NATO'

Zelenskyy tidak lagi akan merayu untuk memastikan Ukraine menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). - Foto: Agensi
Zelenskyy tidak lagi akan merayu untuk memastikan Ukraine menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Saya tidak lagi akan merayu untuk memastikan Ukraine menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Volodymyr Zelenskyy merujuk kepada isu rumit yang menjadi antara 'syarat utama' dikemukakan Rusia sebelum kempen pencerobohan ke atas Kiev bermula kira-kira dua minggu lalu.

"Kami telah memahami NATO sebenarnya tidak bersedia untuk menerima Ukraine. Perikatan itu takut dengan perkara kontroversi dan konfrontasi dengan Moscow," katanya menerusi wawancara bersama ABC News yang disiarkan pada Isnin.

Zelenskyy ketika bercakap melalui jurubahasa menegaskan beliau enggan menjadi presiden yang terpaksa melutut semata-mata mahu meminta sesuatu.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk 'berkrompomi' tentang status dua wilayah pemisah pro-Rusia, Donetsk dan Lugansk yang diisytiharkan 'merdeka' oleh Presiden Vladimir Putin.

"Saya sedia untuk berdialog dan berbincang tentang jaminan keselamatan. Persoalan tentang beberapa isu adalah lebih sukar berbanding mengiktiraf kemerdekaan mereka," ujarnya ketika disoal tentang tuntutan Putin yang menggesa Ukraine membuat pengiktirafan kemerdekaan yang sama.

Sehingga kini, 'kemerdekaan' Republik Donetsk dan Republik Lugansk belum diiktiraf mana-mana negara selepas tindakan Rusia merampas wilayah Crimea pada 2014 menjadi titik tolak kepada konflik yang berlarutan selama lapan tahun. - Agensi


INFO

Artikel Berkaitan:


* Sebelum ini, Kremlin menolak sekeras-kerasnya jika Kiev menyertai perikatan transatlantik tersebut yang ditubuhkan ketika Perang Dingin bermula untuk melindungi Eropah daripada Kesatuan Soviet.

* Tindakan perikatan itu memperluaskan kedudukan mereka ke bahagian timur di blok negara bekas Kesatuan Soviet sejak beberapa tahun lalu telah mengundang kemarahan Moscow.