Mindef masih kaji pemberian elaun kenangan

Ikmal Hisham. - Foto Bernama
Ikmal Hisham. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) masih menilai kesesuaian opsyen agar pemberian elaun kenangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dapat dilaksanakan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, ini kerana sebahagian besar veteran yang terkesan dalam isu jurang pencen terdiri daripada mereka yang menerima pingat tersebut.

Jelasnya, jika opsyen tersebut mampu dilaksanakan ia diyakini mampu menyelesaikan permasalahan jurang pencen dalam kalangan veteran ATM yang berkaitan.

“Untuk makluman, kerajaan pernah memperuntukkan sejumlah RM 60.9 juta bagi pemberian elaun kenangan PJM ini kepada 121,816 warga veteran ATM pada tahun 2020 dan sejumlah RM2.7 juta kepada balu dan waris pada tahun 2021.

“Justeru, kita berharap pihak Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan lagi peruntukan baru untuk pemberian elaun kenangan PJM ini pada tahun mendatang,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan M Karupaiya (PH-Padang Serai) yang memintanya menyatakan penyelarasan pencen veteran ATM di antara pencen sebelum tahun 2012 dan selepas tahun 2012 dan apakah hasil kajian yang telah dibuat oleh kementeriannya mengenai perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham berkata, semakan yang dijalankan oleh kementerian membabitkan isu pelarasan jurang pencen mendapati ia akan melibatkan implikasi kewangan yang tinggi apabila dilaksanakan.

“Namun, kementerian sedang berusaha untuk mendapatkan opsyen- opsyen terbaik dalam mengatasi cabaran permasalahan ini memandangkan kementerian mengakui skim perkhidmatan ATM adalah berbeza dengan skim perkhidmatan awam yang lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, penjawat awam perkhidmatan kerajaan selain tentera menikmati pencen sehingga 60 peratus, manakala majoriti veteran ATM yang telah berkhidmat sehingga 21 tahun hanya layak menikmati pencen sebanyak 50 peratus.